MGA anjur Persidangan Emas Malaysia buat kali pertama pada 17 Februari 2023 | DagangNews Skip to main content

MGA anjur Persidangan Emas Malaysia buat kali pertama pada 17 Februari 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 Feb - Persatuan Emas Malaysia (MGA) akan menganjurkan Persidangan Emas Malaysia buat julung kalinya di Kuala Lumpur pada 17 Februari 2023.

 

Persidangan yang ditaja oleh Public Gold itu terbuka kepada semua pemain industri emas akan berkongsi maklumat pasaran emas global, prospek emas untuk tahun ini dan trend pasaran emas semasa untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

 

MGA membawa penceramah jemputan dari London Metals Focus, Singapore Bullion Market Association dan Persekutuan Persatuan Tukang Emas dan Barang Kemas Malaysia untuk berkongsi kepakaran dan pengetahuan mereka dengan peserta terutamanya pemain industri emas.

 

Presiden MGA, Datuk Louis Ng berkata, matlamat utama pihaknya adalah untuk menjaga kebajikan industri logam berharga tempatan dan memastikan industri itu terus maju walaupun ketidakpastian terhadap masa hadapan industri.

 

“Kami merasakan penting bagi pemain industri emas tempatan untuk dimaklumkan dengan baik mengenai prospek emas serantau, trend pasaran emas terkini serta mengekalkan piawaian emas global yang ditetapkan oleh organisasi logam berharga terkenal dunia agar kekal berdaya saing dalam pasaran dunia.

 

“Kami yakin pemain industri emas seperti peruncit emas, pedagang dan penjual barang kemas akan mendapat manfaat daripada perkongsian maklumat oleh pakar emas asing dan tempatan. 

 

"Oleh itu, ini adalah peluang keemasan untuk pemain industri emas tempatan untuk memahami petua berharga terutamanya bagi mereka yang ingin cemerlang dan menceburi pasaran asing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ditubuhkan pada 2014, MGA berperanan untuk memajukan industri logam berharga tempatan melalui pelbagai aktiviti seperti penglibatan aktif dalam membuat dasar negara dan mengekalkan piawaian emas serta menganjurkan kempen jualan.

 

Yuran pendaftaran bermula dari RM100 seorang untuk ahli MGA dan RM200 seorang untuk bukan ahli (termasuk makan tengah hari) dan tarikh tutup pendaftaran adalah pada 5 Februari 2023.

 

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mga.my atau hubungi 011-5551 1916 untuk pertanyaan dan pendaftaran. – DagangNews.com