MGA gesa kerajaan pertimbang kelangsungan industri emas sebelum kuat kuasa cukai barangan mewah | DagangNews Skip to main content

MGA gesa kerajaan pertimbang kelangsungan industri emas sebelum kuat kuasa cukai barangan mewah

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mac - Persatuan Emas Malaysia (MGA) menggesa kerajaan untuk mempertimbang kelangsungan penggiat serta industri emas di negara ini sebelum bertindak melaksanakan cukai barangan mewah (LGT) ke atas emas serta barang kemas.

 

MGA dalam kenyataan berkata, walaupun usaha meningkatkan pendapatan negara menerusi LGT yang dibentangkan dalam semakan semula Belanjawan 2023 perlu diutamakan, langkah tersebut sebaliknya tidak mampu ditanggung oleh pengguna secara amnya selain turut menjejaskan kemampanan industri itu secara menyeluruh.

 

Persatuan mendakwa, jika dilaksanakan, cukai tersebut boleh memberi kesan kepada kira-kira 4,500 pengusaha barang kemas, 1,000 pengeluar emas dan ratusan ribu pekerjaan di Malaysia.

 

“Rakyat Malaysia dalam kumpulan B40 dan M40 tanpa mengira etnik, cenderung untuk membeli 999.9 dan barang kemas 916 sebagai bentuk pelaburan dan simpanan.

 

"Aset ini biasanya diturunkan dari satu generasi ke generasi yang menjadi sebahagian daripada budaya tempatan," katanya.

 

MGA berkata, barangan mewah sebaliknya tidak penting, dengan margin tinggi dan memberi pulangan rendah atau tiada nilai jualan semula, yang kebanyakannya dimiliki golongan berpendapatan tinggi.

 

“Ini kerana apabila emas tidak lagi mampu dimiliki oleh pengguna umum, ia seterusnya akan menjejaskan kemampanan industri emas sama sekali,” katanya.

 

 

mga

 

 

MGA juga mencadangkan kerajaan mengkaji cukai seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan cukai pendapatan yang dikutip daripada pelbagai peniaga emas dan barang kemas sejak tiga tahun lalu, dan membandingkan keberkesanan kutipan cukai dengan dan tanpa pengenaan LGT.

 

Dalam pada itu, Presiden MGA, Louis Ng berkata, pihaknya sentiasa terlibat secara proaktif dalam memudahkan kerajaan dengan maklumat yang mencukupi untuk dalam pelancaran pelan percukaian mereka.

 

"MGA akan terus melakukan yang terbaik untuk memberikan nasihat pakar bagi membantu kerajaan melancarkan dasar baharu dengan lancar, pada masa yang sama melindungi kelangsungan industri emas," katanya.

 

Ditubuhkan pada 2014, MGA berperanan untuk menangani perkara perdagangan logam dan mengambil bahagian dalam penetapan dasar utama dengan pihak berkuasa di Malaysia, serta memajukan industri perdagangan logam ke tahap lebih tinggi. - DagangNews.com