KUALA LUMPUR 18 Jan - MIDF Research mengunjurkan eksport dan import masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 9.2% dan 9.5% pada 2023 selepas mengambil kira asas yang kukuh pada 2022.
Firma itu menjangkakan eksport dan import masing-masing berkembang secara sederhana kepada 9.2% (2022: 25%) and 9.5% (2022: 31.3%) pada tahun ini.
"Kami menjangkakan peningkatan berterusan dalam permintaan untuk elektrik dan elektronik (E&E) serta komoditi untuk terus memacu eksport Malaysia, selain peningkatan berterusan dalam perbelanjaan domestik dan aktiviti perniagaan yang akan menyokong prospek import pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, eksport bernilai RM1.552 trilion, melebihi unjuran Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) bagi tahun 2025 sebanyak 24%, tiga tahun lebih awal dari sasaran yang ditetapkan.
Import negara juga mencatatkan satu lagi pencapaian baharu apabila buat julung kalinya telah melebihi aras RM1 trilion.
Firma itu juga menjangkakan kesan positif ke atas eksport daripada ratifikasi perjanjian perdagangan iaitu Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Bagaimanapun, firma itu kekal berhati-hati dengan kemungkinan hambatan kepada aktiviti perdagangan dan pengeluaran global memandangkan jangkaan kelembapan dalam pertumbuhan global, khususnya dalam ekonomi maju.
"Peningkatan ketegangan geopolitik, perang perdagangan dan tekanan baharu ke atas rantaian bekalan global juga boleh menjejaskan prospek perdagangan.
"Kami menjangkakan pembukaan semula ekonomi China akan membantu meningkatkan prospek pertumbuhan global dan menyumbang kepada permintaan luar yang lebih baik dari dalam Asia," katanya. - DagangNews.com