MTDC, Gobi Partners labur bersama pendanaan awam dalam talian terkemuka Malaysia | DagangNews Skip to main content

MTDC, Gobi Partners labur bersama pendanaan awam dalam talian terkemuka Malaysia

KUALA LUMPUR 3 Feb - Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), milik Khazanah Nasional, telah menyertai Gobi Partners dalam pelaburan bersama bernilai RM5 juta dalam Pitch Platforms Sdn Bhd (pitchIN).

 

Platform pendanaan awam ekuiti (ECF) pitchIN ialah pengendali pasaran berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti dan sehingga kini telah berjaya membiayai 154 tawaran, jumlah yang paling banyak di antara semua platform ECF di Malaysia.

 

PitchIN telah mengumpul lebih RM280 juta setakat ini dengan lebih 7,600 pelaburan dibuat ke dalam syarikat Malaysia yang berkembang pesat.

 

MTDC berkata, ia sedang melabur bersama di dalam syarikat itu melalui Dana Pertumbuhan Perniagaan MTDC dan Dana Superseed II Gobi.

 

Ia akan terus membantu syarikat mengembangkan tawaran platform ECF, melancarkan tawaran pertukaran permulaan (IEO) dan platform pasaran sekunder tempatan dan memulakan usaha sama di rantau ini.

 

MTDC menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pitch Platforms pada 2020 untuk bekerjasama di dalam bidang ECF.

 

Program MTDC-pitchIN ECF memberi MTDC peluang untuk mengambil bahagian dalam pelaburan pendanaan awam ekuiti sehingga 30% di dalam bakal syarikat yang layak bagi setiap kempen.

 

“Dengan pelaburan tambahan di dalam pitchIN, MTDC akan dapat memudahkan lagi pengumpulan dana untuk syarikat berasaskan teknologi tempatan melalui platform pendanaan awam di dalam talian mereka,” kata MTDC, lapor Bernama.

 

Agensi itu juga akan menyediakan perkhidmatan sokongan bersepadu untuk syarikat yang dibiayai termasuk Pengurusan Pusat Teknologi, Technopreneur Training Academy (TENTRA), Centre of 9 Pillars (Co9P) dan khidmat nasihat seperti mentor, pemulihan bertahap, penjenamaan, pengumpulan dana, kerjasama antarabangsa dan rangkaian.

 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MTDC, Mohammad Hazani Hassan berkata pelaburan bersama Gobi Partners ini akan menyokong syarikat teknologi tempatan yang berpotensi untuk mengembangkan perniagaan mereka di peringkat tempatan dan antarabangsa.

 

Menerusi pelaburan bersama ini, beliau berkata syarikat akan mendapat manfaat dari rangkaian perniagaan yang meluas dan hubungan daripada kedua-dua pihak yang akan mempercepatkan dan memacu perkembangan masa hadapan syarikat.

 

“Kami menyokong dan percaya bahawa pelaburan bersama ini akan memberi manfaat kepada syarikat teknologi tempatan Malaysia kerana keupayaan mereka untuk mengekalkan dan mengembangkan perniagaan berikutan pandemik baru-baru ini merupakan satu lagi sebab kami meneruskan kerjasama dengan mereka,” katanya.

 

Mohammad Hazani berkata MTDC juga ingin menjemput pelabur lain untuk bersama-sama melabur khususnya dalam sektor teknologi.

 

Sementara itu, rakan pengurusan Gobi Malaysia, Jamaludin Bujang berkata pelaburan bersama itu akan membolehkan usahawan terutamanya pemula serta perusahaan kecil dan sederhana menerima pembiayaan tambahan, terutama dalam landskap ekonomi yang mencabar di Malaysia.

 

“Dengan pelancaran platform Pasaran Sekunder Syarikat dan IEO tahun ini, ini merupakan titik perubahan penting untuk peningkatan populariti ECF di Malaysia dan itulah faktor yang menyebabkan Gobi dan MTDC akan melabur dalam platform ECF terbaik di negara ini, ” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pitch Platform Sam Shafie berkata MTDC dan Gobi Partners memberi pengalaman dan jangkauan pasaran dan syarikat yakin pelaburan mereka akan membawa kepada lebih banyak pertumbuhan di pitchIN.

 

"Kami berterima kasih kerana keyakinan mereka terhadap visi kami dan berharap dapat bekerjasama dengan mereka sementara kami melancarkan perkhidmatan akan datang dan pengembangan yang telah dirancang," tambahnya. – DagangNews.com