Niat baik tidak boleh menghalalkan yang haram | DagangNews.com Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 20 January 2023

Niat baik tidak boleh menghalalkan yang haram

 

 

HUKUM halal dan haram telah dijelaskan di dalam al-Quran dan hadis supaya menjadi panduan kepada manusia dalam menjalani kehidupan seharian.

 

Halal menurut istilah adalah perkara yang diharuskan yang terlepas daripada ikatan ancaman dari melakukan dan Allah SWT memberi keizinan untuk melakukan.

 

Haram pula adalah perkara yang telah dilarang oleh Allah SWT daripada melakukan dengan amaran bahawa sesiapa yang melanggar larangan tersebut akan membawa kepada seksaan Allah SWT di akhirat dan adakalanya mendapat hukuman syariat di dunia.

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Mencari yang halal adalah suatu kewajipan ke atas setiap Muslim.” (Riwayat al-Tabarani)

 

Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah menjelaskan di dalam kitab fiqh ‘Al-Halal wa al-Haram fi al-Islam’ berkaitan prinsip-prinsip halal dan haram berkaitan makanan, minuman dan barang gunaan yang perlu diketahui oleh seluruh masyarakat Islam.

 
 

irsyad

 

1. Hukum asal segala sesuatu adalah harus (mubah)

Tiada satu pun yang haram, kecuali ada dalil yang jelas dari syarak yang mengharamkan sesuatu perkara tersebut.

 

Sekiranya tiada dalil yang sah dan jelas, seperti hadis yang dinilai daif (lemah) ataupun dalil yang jelas menunjukkan haram, maka perkara tersebut dikira sebagai harus kerana asalnya adalah harus.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah zat yang menjadikan untuk kamu segala sesuatu yang ada di muka bumi ini semuanya.” (Surah al-Baqarah: 29)

 

2. Kuasa penentuan halal dan haram adalah hak mutlak Allah SWT

Kuasa penentuan halal dan haram adalah hak Allah SWT sepenuhnya, manakala manusia tidak boleh masuk campur dan sewenang-wenangnya menyatakan keharaman dan kehalalan sesuatu perkara.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Apakah mereka itu mempunyai sekutu yang mensyariatkan agama untuk mereka, dengan sesuatu yang tidak diizinkan Allah?.” (Surah al-Syura: 21)

 

3. Sikap mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram adalah sama dengan syirik

Islam telah mencela sikap orang yang suka menentukan halal dan haram kerana telah mewujudkan kesempitan dan kesukaran bagi manusia, sedangkan perkara tersebut diberikan keluasan oleh Allah SWT.

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Aku ciptakan hamba-hamba-Ku ini dengan sikap yang lurus (hanif), tetapi mereka didatangi syaitan, maka syaitan ini memesongkan mereka dari agama mereka, dan mengharamkan atas mereka sesuatu yang Aku halalkan kepada mereka, serta mempengaruhi supaya mereka syirik kepada-Ku dengan sesuatu yang tidak Aku turunkan keterangan padanya.” (Riwayat Muslim)

 

 

irsyad

 

4. Perkara yang halal menafikan keperluan kepada yang haram

Setiap perkara yang diharamkan oleh Allah SWT pasti ada gantian sesuatu yang lebih baik kerana menunjukkan salah satu bentuk rahmat dan kelembutan agama Islam.

 

5. Wasilah atau helah untuk melakukan yang haram adalah haram

Perlakuan meletakkan nama perkara yang haram bukan atas namanya yang sebenar seperti arak yang ditukar namanya kepada nama selain arak.

 

Selain itu, mengubah bentuk rupanya tetapi masih kekal hakikat perkara tersebut seperti melakukan bentuk-bentuk helah ribawi.

 

6. Niat yang baik tidak boleh menghalalkan yang haram

Perkara yang haram akan tetap keharamannya walaupun diiringi dengan niat yang baik. Islam tidak pernah memberi peluang jika keharaman dijadikan alat untuk mencapai tujuan yang terpuji.

 

Contohnya ialah orang yang mengumpulkan harta daripada hasil riba, judi dan selainnya untuk tujuan membina masjid, maka niatnya itu tidak menghapuskan dosa pelaku tersebut dan tidak dapat menyelamatkan dirinya di akhirat kelak.

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niatnya, dan setiap orang akan mendapat berdasarkan apa yang diniatkan.” (Riwayat al-Bukhari)

 

 

irsyad

 

7. Menghindari syubhat agar tidak jatuh ke dalam yang haram

Perkara syubhat adalah satu perkara yang samar sama ada ia halal ataupun haram bagi sebahagian manusia, ataupun ringkasnya adalah perkara yang tidak diketahui hukumnya.

 

Sesungguhnya agama Islam telah menyatakan bahawa meninggalkan perkara syubhat adalah termasuk dalam sikap warak agar tidak termasuk kepada perkara yang diharamkan.

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya halal itu jelas dan sesungguhnya haram itu jelas dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang samar (syubhat) yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Barangsiapa yang mengelakkan dirinya daripada perkara yang samar bermakna dia telah membersihkan agama dan kehormatannya. Sesiapa yang terjerumus ke dalam perkara-perkara yang samar maka dia terjerumus di dalam perkara yang haram…” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

8. Halal dan haram itu adalah bersifat universal

Sesuatu perkara yang telah diharamkan meliputi ke atas semua orang tanpa pengecualian pada individu atau kelompok tertentu.

 

9. Keadaan darurat membolehkan yang haram

Walaupun Islam telah menetapkan perkara-perkara yang haram dan melarang keras dari melakukannya, namun Islam tidak mengabaikan keperluan hidup dan kelemahan manusia. Justeru, Islam juga mengambil kira keadaan darurat yang tidak boleh dihindari.

 

Prinsip ini berasakan firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengharamkan atas kamu bangkai, darah, daging babi dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah.Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Baqarah: 173)

 

 

irsyad

 

Demikianlah prinsip-prinsip halal dan haram yang dapat membantu masyarakat Islam memahami dan cakna terhadap isu-isu makanan, minuman dan kepenggunaan dalam kehidupan seharian. - DagangNews.com

 

 

 
DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYADA

Portfolio Tags