Pelabur lebih optimis terhadap prospek pasaran tetapi bimbang dengan intipati Bajet 2023, kongsi CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Pelabur lebih optimis terhadap prospek pasaran tetapi bimbang dengan intipati Bajet 2023, kongsi CGS-CIMB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Jan - CGS-CIMB Research mendapati para pelabur lebih optimis terhadap pasaran tempatan di sebalik persekitaran yang dijangka terus mencabar pada separuh pertama 2023. 

 

Firma itu berkongsi pandangannya dalam nota kajian hari ini selepas membentangkan prospek ekonomi Malaysia menerusi laporannya bertajuk 'Winds of Change' kepada 280 pelabur baru-baru ini. 

 

Menurutnya, prospek pasaran ekuiti kemungkinan kekal mencabar pada separuh pertama memandangkan hasil korporat akan terjejas akibat kenaikan kos, pertumbuhan global yang perlahan dan ketidaktentuan dasar. 

 

Bagaimanapun, ia mengunjurkan kelemahan adalah terhad ekoran jangkaan pertumbuhan hasil KLCI yang kukuh sebanyak 13% pada 2023 serta kecairan tambahan tersedia untuk dana institusi domestik disebabkan ketiadaan skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), potensi pulangan pelabur asing dan penilaian KLCI yang tidak menuntut.

 

"Kami juga menjangkakan separuh kedua 2023 yang lebih baik memandangkan risiko-risiko tersebut akan diambil kira pada pertengahan separuh pertama. 

 

"Pelabur yang kami temui secara umumnya lebih optimis daripada kami mengenai prospek pasaran. Malah, mereka juga berminat untuk mendapatkan pandangan kami tentang kadar pertukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), langkah dasar yang berpotensi dan kejutan (jika ada) dalam Bajet 2023," jelasnya.

 

Sehubungan itu, CGS-CIMB menasihati pelabur supaya beralih daripada perbankan sekiranya hasil bank memuncak pada 2023 dengan memilih sektor lain dan yang mempunyai potensi, antaranya telekomunikasi dan pengguna.

 

"Risiko utama kepada hasil korporat dalam Bajet 2023 ialah kemungkinan kadar cukai yang lebih tinggi boleh menjejaskan hasil syarikat yang bermodal besar," katanya. 

 

Firma itu menganggarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia nominal boleh meningkat sehingga 0.3% tahun ke tahun dengan jangkaan kemasukan konservatif sebanyak sejuta pelancong China tahun ini.

 

"Kebimbangan utama daripada pelanggan berkisar terutamanya mengenai Bajet 2023 yang akan diumumkan pada 24 Februari depan.

 

"Untuk 2023, kami mengunjurkan defisit fiskal yang lebih ketat sekitar 5% daripada KDNK, berbanding 5.5% yang diunjurkan dalam anggaran awal kerajaan, di tengah-tengah keperluan untuk memperbaiki kedudukan hutang kerajaan," tambahnya.

 

Dalam hal ini, CGS-CIMB menjangkakan penjimatan daripada pengurangan perbelanjaan dan hasil kemungkinan lebih tinggi daripada penggunaan yang lebih baik.

 

Mengenai pengenalan cukai baharu pula, ia berpendapat sebarang pengumuman besar kelak dilihat tidak akan menjejaskan pengundi terutama menjelang pilihan raya negeri pada Jun 2023. - DagangNews.com