Pemandu van sekolah buka pusat transit murid, taska dan katering menerusi bantuan modal AIM | DagangNews Skip to main content

Pemandu van sekolah buka pusat transit murid, taska dan katering menerusi bantuan modal AIM

SHAH ALAM 18 Nov - Bermula dengan pendapatan sampingan hasil menumpangkan anak-anak jiran ke sekolah, Norashikin Mohamad Amaran, 49, memberanikan diri keluar dari zon selesa kerja ‘makan gaji’ untuk memulakan perkhidmatan van sekolah.

 

Keputusan itu sekaligus membuka ruang kepadanya untuk mengasaskan syarikat Aisy Trading & Services yang dimulakan sejak 2009 dan sehingga kini dia turut berjaya mengusahakan pusat transit murid, taska dan perniagaan katering.

 

Ibu kepada empat cahaya mata berusia antara 15 dan 26 tahun itu berkata, perniagaannya kini semakin berkembang termasuk kejayaannya memiliki 10 buah van sekolah yang memberi perkhidmatan sekitar Kota Kemuning, Jalan Kebun, Rimbayu dan Kampung Lombong, Klang dan lain-lain.

 

“Saya mendapat idea menjalankan perniagaan van sekolah secara sampingan sejak awal 2000 berikutan Kota Kemuning adalah kawasan baharu. Walaupun saya kerja pejabat tetapi perlu menghantar sendiri anak ke sekolah berikutan tiada perkhidmatan van sekolah.

 

“Daripada seorang dua anak jiran minta tumpang hinggalah penuh kereta, saya kemudian menggunakan van Perodua Rusa sebagai kenderaan pertama dan selepas itu hampir setiap tahun, saya beli satu van bagi memenuhi permintaan tinggi.

 

“Mujur ada kenalan mengesyorkan saya memohon pembiayaan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Saya ingat lagi pinjaman pertama daripada AIM, iaitu berjumlah RM3,000 dan ia digunakan sebagai modal untuk membeli kenderaan.

 

 

AIM

 

 

AIM
Norashikin Mohamad Amaran memiliki syarikat Aisy Trading & Services dan  berjaya mengusahakan pusat transit murid, taska dan perniagaan katering.

 

“Seterusnya, saya meminjam jumlah lebih besar RM30,000 sebanyak empat atau lima kali, jadi keseluruhan jumlah AIM beri melebihi setengah juta,” katanya ketika ditemui di Transit Syafiqa Pintar di Seksyen 30 di sini.

 

Norashikin berkata, berbekalkan pembiayaan berterusan itu, ia cukup membantunya terutama sebagai modal pusingan, kerana selain perusahaan van sekolah, perniagaannya berkembang kepada transit murid.

 

 

AIM

 

 

“Perkhidmatan transit ini menerima permintaan menggalakkan dari bermula rumah teres, kini sudah empat tahun saya menyewa banglo lebih besar, kerana setiap hari lebih kurang 100 murid 'ditransitkan' di sini.

 

“Ini juga memudahkan ibu bapa kerana semua anak dihantar di satu tempat dan pada masa sama mereka tidak perlu bimbang soal keselamatan, makan minum, pengangkutan ke sekolah kerana semuanya disediakan dan hanya bayar RM300 hingga RM350 sebulan untuk seorang anak,” katanya.

 

 

AIM

 

 

Bekas guru mengajar al-Quran ini memaklumkan, dia membelanjakan sebanyak RM12,000 untuk kos petrol serta puluhan ribu kos penyelenggaraan kenderaan sebulan, selain menggajikan ramai pekerja untuk melancarkan operasi dan pekhidmatannya.

 

“Secara kasarnya saya mempunyai 700 pelajar yang dihantar pergi dan pulang ke sekolah dan di pusat transit tiga tingkat ini boleh memuatkan hingga 100 orang dan di taska ada 17 bayi dan kanak-kanak.

 

“Kebiasaan mereka semua tidak tiba secara serentak kerana masing-masing mempunyai jadual persekolahan berbeza, jadi memang di rumah transit ini ada seorang penyelia, seorang staf yang menguruskan makan minum dan tiga pembantu lain,” katanya.

 

 

AIM

 

 

Menceritakan pengalaman dua tahun mengharungi COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Norashikin berkata, dia terpaksa mengalihkan ‘cabang perniagaan’ dengan mengusahakan katering selain turut menggunakan van untuk perkhidmatan penghantaran.

 

“Alhamdulillah kini perniagaan semakin pulih selepas melalui tempoh sangat mencabar sekolah ditutup, namun tetap terpaksa membayar gaji pekerja dan sewa premis serta menanggung ansuran dua kenderaan baru dibeli dan kos penyelenggaran walaupun tidak digunakan.

 

“Bagaimanapun, mujur ada pembiayaan AIM, ia sangat membantu terutama dalam mengembangkan perniagaan, berikutan syarat pinjamannya mudah dan konsep bantu membantu kalangan sahabat, misalnya rakan saya sahabat AIM blok Kota Kemuning (Cawangan Shah Alam).

 

“Saya juga gemarkan kaedah pembiayaan ditawarkan AIM, misalnya pinjaman berjumlah RM20,000 saya ambil secara jangka pendek, jadi hanya ambil masa enam bulan untuk melunaskan kerana pinjaman itu khusus untuk pusingan modal,” katanya. - DagangNews.com