Pembukaan pawagam baharu GSC pacu hasil PPB Group bagi FY23 - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Pembukaan pawagam baharu GSC pacu hasil PPB Group bagi FY23 - AmInvestment

GSC memiliki penguasaan pasaran sebanyak 52% dalam kutipan box-office di Malaysia. - Gambar : Facebook GSC
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Jan - AmInvestment Bank Research optimis dengan prospek PPB Group Bhd. terutamanya didorong pembukaan operasi baharu Golden Screen Cinemas (GSC) dan tayangan filem 'blockbuster' pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23).

 

Ini mendorong firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap PPB Group Bhd. dengan nilai wajar lebih tinggi pada RM19.40 daripada RM19.30 sesaham sebelum ini. 

 

Unjuran itu mengambil kira keuntungan bersih kumpulan akan meningkat sebanyak 2% bagi FY23 dengan hasil daripada segmen tayangan dan pengedaran filem kumpulan akan berkembang sebanyak 20% kepada RM419 juta.

 

"Oleh itu, kami mengunjurkan margin keuntungan sebelum cukai segmen ini akan meningkat kepada 12% pada FY23 berbanding 10% pada FY22," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Menurut firma tersebut, tayangan filem blockbuster yang lebih tinggi dalam FY23 dijangka menyokong pemulihan dalam segmen pawagam kumpulan.

 

"Kami percaya GSC akan meraih manfaat daripada kelebihan ini berikutan rangkaiannya yang besar dan tawaran pawagam yang memenuhi segmen pengguna yang berbeza.

 

"Dalam tempoh jangka panjang, hasil GSC akan dipacu pembukaan pawagam-pawagam baharu," jelasnya.

 

Filem 'blockbuster' yang dijangka ditayangkan dalam tempoh FY23 termasuklah Mission Impossible7, Dungeons and Dragons: Honor among Thieves dan Guardians of the Galaxy Vol 3.

 

Firma itu mendapatati GSC memiliki penguasaan pasaran sebanyak 52% dalam kutipan box-office di Malaysia.

 

Pada suku pertama ini, GSC akan memulakan operasi di IOI Mall Kulai dan IOI City Mall Fasa 2 manakala Bukit Bintang City Centre dan Sunway Carnival Extension pada suku kedua diikuti 163, Retail Park, Mont Kiara mulai suku ketiga. 

 

AmInvestment percaya, segmen tayangan dan pengedaran filem mampu mengekalkan keuntungan sebelum cukainya di sebalik jualan produk makanan bernilai tinggi dan pendapatan sampingan seperti penyewaan dewan dan ruang kepada pelanggan korporat.

 

"Kami dapati sejak pandemik COVID-19, kos operasi telah meningkat sebanyak 30%. Sewa dan upah menyumbang sebahagian besar daripada kos operasi GSC," jelasnya. 

 

Setakat 12.10 tengah hari, harga saham PPB Group susut 2 sen atau 0.11% kepada RM17.50 sesaham dengan 59,800 saham diniagakan. - DagangNews.com