Pemulihan kontrak kerja bantu Dayang kembali catat untung RM124.24 juta bagi FY22 | DagangNews Skip to main content

Pemulihan kontrak kerja bantu Dayang kembali catat untung RM124.24 juta bagi FY22

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Feb - Dayang Enterprise Holdings Bhd. kembali merekodkan untung bersih sebanyak RM15.56 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022 daripada kerugian bersih RM288.49 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Bagaimanapun, bagi perbandingan suku ke suku, keuntungan itu menyusut 71% daripada RM52.9 juta yang direkodkan pada suku ketiga, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Pada suku keempat, kumpulan merekodkan pendapatan lebih tinggi sebanyak RM222.3 juta daripada RM2022.2 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan lebih banyak kontrak kerja yang dianugerahkan syarikat minyak utama dan harga minyak menggalakkan dalam tempoh berkenaan.

 

Kadar penggunaan kapal untuk suku semasa meningkat kepada 54% berbanding 38% bagi tempoh sama pada 2021.

 

Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2022 (FY22), kumpulan merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM124.24 juta daripada kerugian bersih RM316.59 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat 47% kepada RM948.18 juta daripada RM667.74 juta bagi tempoh sama FY21. 

 

Mengenai prospek kumpulan, Dayang berkata, 2023 tidak banyak berbeza memandangkan suku pertama mencerminkan penghujung musim tengkujuh dan permulaan mobilisasi untuk musim baharu.

 

"Namun, kami sedang bekerjasama rapat dengan pelanggan dalam perancangan setahun penuh mereka dalam ruang penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) dan sambungan dan pentauliahan (HUC) serta bersiap sedia untuk mobilisasi utama pada Mac ini," katanya.

 

Ia menjangkakan prospek FY23 akan menyamai FY22 bagi industri menyokong jangkaan pemulihan ekonomi di peringkat domestik dan global.

 

"Kami kekal positif dengan berhati-hati terhadap prospek kerana kami percaya pelanggan akan terus menutup jurang ketidakseimbangan sambil mengoptimumkan keuntungan," tambahnya. - DagangNews.com