Penerbangan AirAsia X ke Osaka dijangka bawa lebih 116,000 pelancong Malaysia, Jepun setiap bulan | DagangNews Skip to main content

Penerbangan AirAsia X ke Osaka dijangka bawa lebih 116,000 pelancong Malaysia, Jepun setiap bulan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Jan - Penerbangan AirAsia X (AAX) sebanyak tiga kali seminggu ke Osaka dijangka akan membawa lebih 116,000 pelancong antara Malaysia dan Jepun pada setiap bulan, seterusnya merangsang sektor pelancongan kedua-dua buah negara.

 

Ia susulan penerbangan semula AAX ke Osaka baru-baru ini, yang mana mengembangkan lagi rangkaiannya ke/dari negara matahari terbit. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif AAX Malaysia, Benyamin Ismail berkata, pihaknya berbesar hati untuk memulakan tahun baru dengan pengumuman laluan ke-13 mereka iaitu dari Kuala Lumpur ke Osaka. 

 

Katanya, selepas menyambung semula perkhidmatan dari Kuala Lumpur ke Tokyo (Haneda) dan Sapporo pada akhir tahun lepas, pihaknya telah membawa hampir 30,000 tetamu antara Malaysia dan Jepun selepas pandemik. 

 

“Kami berbesar hati melihat permintaan kukuh bagi penerbangan sulung ini dengan muatan melebihi 95% dan kami yakin bahawa laluan ini akan diterima dengan baik walaupun ia kompetitif. 

 

"Apabila permintaan perjalanan semakin meningkat, kami akan terus mengembangkan perkhidmatan kami ke destinasi menarik di Asia dari hab serantau kami di Kuala Lumpur dan Bangkok," katanya dalam satu kenyataan.

 

 

airasia

 

 

airasia

 

 

airasia

 

 

Sementara itu, untuk meraikan perkhidmatan semula ke salah satu destinasi paling popularnya, AAX menawarkan tambang termasuk semua bernilai hebat antara Kuala Lumpur dan Osaka daripada RM699 sehala untuk tempat duduk ekonomi atau RM2,999 sehala untuk 'Premium Flatbed'.

 

 

airasia

 

 

Sebagai sebuah kumpulan, AAX terbang ke tiga destinasi di Jepun iaitu Tokyo, Osaka dan Sapporo dari Kuala Lumpur yang dikendalikan oleh AirAsia X Malaysia (D7) dan dari Bangkok (Suvarnabhumi) yang dikendalikan oleh AirAsia X Thailand (XJ). - DagangNews.com