Perdagangan Malaysia melebihi RM2 trilion untuk tahun kedua berturut-turut, pertumbuhan terpantas sejak 1994 | DagangNews Skip to main content

Perdagangan Malaysia melebihi RM2 trilion untuk tahun kedua berturut-turut, pertumbuhan terpantas sejak 1994

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - Perdagangan Malaysia mengekalkan prestasinya yang memberangsangkan pada 2022 apabila melebihi aras RM2 trilion bagi dua tahun berturut-turut dan mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak 1994.

 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia menandakan satu lagi pencapaian terbaik apabila perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan melonjak ke nilai tertinggi yang baharu.

 

"Ini merupakan gambaran positif bahawa perdagangan negara sedang berada pada trajektori peningkatan yang didorong oleh faktor permintaan luar yang tinggi serta harga komoditi yang kukuh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Tengku Zafrul, eksport bernilai RM1.552 trilion, melebihi unjuran Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) bagi tahun 2025 sebanyak 24%, tiga tahun lebih awal dari sasaran yang ditetapkan. 

 

Sementara itu katanya, import mencatatkan satu lagi pencapaian baharu apabila buat julung kalinya telah melebihi aras RM1 trilion. 

 

"Lebihan dagangan yang ke-25 tahun berturut-turut telah direkodkan sejak 1998," katanya.

 

Beliau berkata, bagi pasaran pula, eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun telah mencatatkan nilai tertinggi baharu. 

 

 

zafrul
                                          Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

 

"Kenaikan eksport yang ketara turut dicatatkan ke pasaran baharu seperti Mesir, Sri Lanka, Mozambique, Papua New Guinea, Togo, Djibouti dan Afghanistan," katanya.

 

Katanya, eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) juga mencatatkan nilai tertinggi setakat ini.

 

 

miti

 

 

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, eksport ke pasaran di bawah perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang berkuat kuasa tahun lepas telah mencatatkan pertumbuhan dua digit.

 

Beliau berkata, eksport sektor barangan perkilangan, keluaran pertanian dan hasil galian merekodkan nilai tertinggi setakat ini dengan pertumbuhan dua digit. 

 

Jelasnya, pertumbuhan eksport yang mampan ini disokong oleh eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum, gas asli cecair (LNG), minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, petroleum mentah serta jentera, kelengkapan dan peralatan, yang mana setiap barangan ini telah merekodkan kenaikan melebihi RM10 bilion dengan pertumbuhan dua digit. 

 

 

miti

 

 

Katanya, kesemua barangan ini juga merekodkan nilai eksport tertinggi kecuali petroleum mentah.

 

Tambah beliau, prestasi perdagangan Malaysia yang kukuh adalah seiring dengan pasaran-pasaran di rantau ini terutamanya Taiwan dan Republik Korea (ROK) berikutan permintaan global yang mantap.

 

"Walaupun berada di dalam landskap global semasa yang mencabar, kami akan terus memperkasakan aktiviti promosi perdagangan antarabangsa serta eksport agar dapat memperkukuhkan lagi daya tahan perniagaan dan seterusnya mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi," katanya. - DagangNews.com