KUALA LUMPUR 19 Okt - Perdagangan Malaysia terus meningkat pada September 2022, dengan mencatatkan pertumbuhan dua angka bagi perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan yang juga nilai tertinggi bagi bulan tersebut setakat ini.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, perdagangan naik 31.4% kepada RM256.91 bilion berbanding September 2021, pertumbuhan dua angka yang ke-20 bulan berturut-turut.
Eksport meningkat 30.1% kepada RM144.31 bilion, pertumbuhan dua angka yang ke-14 bulan berturut-turut, manakala import berkembang 33% kepada RM112.60 bilion dan lebihan dagangan mencatatkan rekod tertinggi baharu, bertambah sebanyak 20.9% kepada RM31.71 bilion.
Menurutnya, pertumbuhan eksport disumbangkan terutamanya oleh permintaan yang kukuh bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum, gas asli cecair (LNG), petroleum mentah, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan.
"Eksport barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta LNG mencatatkan nilai bulanan tertinggi setakat ini.
"Sementara itu, eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua angka manakala eksport ke Jepun mencatatkan nilai eksport bulanan tertinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dari segi perbandingan bulanan, eksport dan lebihan dagangan masing-masing meningkat 2.2% dan 86.1% manakala perdagangan dan import menyusut 3.2% dan 9.4%.
Perdagangan bagi suku ketiga 2022 berkembang 42% kepada RM774.98 bilion berbanding suku ketiga 2021 dengan eksport meningkat 38.3% kepada RM419.65 bilion manakala import naik 46.5% kepada RM355.32 bilion.
Menurut MITI, ia adalah nilai suku tahunan yang tertinggi bagi perdagangan, eksport dan import manakala lebihan dagangan bertambah 5.6% kepada RM64.33 bilion.
"Berbanding suku kedua 2022, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing menokok sebanyak 6.1%, 6.5%, 5.7% dan 10.8%," katanya.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2022, perdagangan naik 32.9% kepada RM2.13 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Ia menyaksikan eksport meningkat 30.3% kepada RM1.159 trilion dan import berkembang 36.2% kepada RM971.26 bilion.
"Lebihan dagangan berkembang 6.3% kepada RM187.4 bilion manakala perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencatatkan nilai tertinggi bagi tempoh ini.
Eksport barangan perkilangan pada September 2022 mencecah nilai tertinggi sebanyak RM122.23 bilion atau 84.7% daripada jumlah eksport, meningkat 28.7% tahun ke tahun, pertumbuhan dua angka yang ke-14 bulan berturut-turut.
Barangan E&E, keluaran petroleum, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan masing-masing merekodkan kenaikan eksport melebihi RM1 bilion.
Eksport hasil galian melonjak 89% tahun ke tahun kepada RM11.1 bilion, nilai bulanan tertinggi setakat ini dan pertumbuhan dua angka yang ke-18 bulan berturut-turut, disokong oleh kenaikan eksport LNG serta petroleum mentah.
Eksport keluaran pertanian pula berkembang 8% kepada RM10.44 bilion berbanding September 2021 disumbangkan terutamanya oleh pertambahan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. - DagangNews.com