Pos Logistics lancar ibu pejabat baharu di Subang Jaya | DagangNews Skip to main content

Pos Logistics lancar ibu pejabat baharu di Subang Jaya

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Mac - Anak syarikat milik penuh Pos Malaysia Bhd, Pos Logistics Bhd melancarkan ibu pejabat baharu di kawasan perusahaan Sungai Penaga di Subang Jaya.

 

Pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Pos Malaysia dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer.

 

Ibu pejabat baharu itu menempatkan gudang seluas 45,000 kaki persegi, yang beroperasi sepenuhnya dengan sistem pengurusan gudang canggih, khusus untuk segmen automotif. 

 

Syarikat logistik itu berpindah ke premis baharu itu pada Oktober 2022 dari Shah Alam, yang mana disebabkan bencana banjir yang menyaksikan kemusnahan teruk menjejaskan banyak kawasan terutamanya berhampiran Taman Sri Muda.

 

Ekoran banjir Taman Sri Muda, Pos Logistics dianggarkan mengalami kerugian lebih RM70 juta kerana barangan pelanggan yang disimpan di gudang ditenggelami air hampir dua meter.

 

Selain itu, pengedaran dan penghantaran barang pelanggan juga terganggu, namun kerugian kerosakan telah dipulihkan melalui tuntutan insurans.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pos Logistics, Shahrulnizam Ahmad berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk membina kepercayaan dengan pelanggan untuk menyediakan tepat pada masanya, dan sistem penghantaran yang boleh dipercayai.

 

 

pos logistics
(Dari kiri) Charles Brewer, Datuk Seri Syed Faisal Albar dan Shahrulnizam Ahmad memotong rebun pada majlis pelancaran ibu pejabat baharu Pos Logistics di Subang Jaya, baru-baru ini.

 

 

"Penempatan semula ibu pejabat adalah sebahagian daripada usaha untuk menunjukkan komitmen kami.

 

"Selain itu, gudang di premis baharu mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan perkhidmatan unggul kepada pelanggan melalui penggunaan teknologi canggih," katanya.

 

Dalam pelancaran tersebut, Syed Faisal Albar turut menyampaikan zakat wakalah daripada DRB-Hicom kepada sembilan penerima terdiri daripada kakitangan Pos Logistik dan ahli keluarga mereka. - DagangNews.com