PRU15: Rakyat Malaysia mengundi pada 19 November, penamaan calon 5 November 2022 - SPR | DagangNews Skip to main content

PRU15: Rakyat Malaysia mengundi pada 19 November, penamaan calon 5 November 2022 - SPR

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 20 Okt - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 19 November 2022 (Sabtu) sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

 

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November 2022.

 

"Manakala, hari pengundian awal ialah pada 15 November ini," katanya dalam sidang akhbar di Menara SPR di sini hari ini.

 

Terdahulu, SPR mengadakan mesyuarat khas pada pukul 10 pagi bagi menentukan tarikh untuk PRU15.

 

Menurut Abdul Ghani, tarikh tersebut juga melibatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya di Sabah.

 

Pada 10 Oktober lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 

PRU15 menyaksikan sebanyak 222 kerusi Parlimen dan sebahagian sahaja kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila Pakatan Harapan membuat keputusan tidak membubarkan DUN melibatkan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

 

 

spr
Tan Sri Abdul Ghani Salleh mempengerusikan mesyuarat SPR bagi menentukan tarikh PRU15 di Menara SPR, Putrajaya pada 20 Oktober 2022.

 

 

Pas yang mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah juga kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan DUN.

 

Selain itu, empat negeri telah melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) antaranya Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor. - DagangNews.com