Radium Development lancar projek R Suites Chancery Residences dengan GDV RM521 juta | DagangNews Skip to main content

Radium Development lancar projek R Suites Chancery Residences dengan GDV RM521 juta

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jan - Radium Development Berhad melancarkan projek terbaharunya, R Suites Chancery Residences dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM521 juta, di Pusat Bandar Ampang, yang dijangka siap menjelang suku keempat 2027.

 

Projek tersebut menawarkan para pembeli berpengalaman pasaran tempatan, serantau dan antarabangsa dengan peluang pelaburan dalam pasaran hartanah di pusat bandar yang semakin berkembang, serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi memenuhi keperluan segmen perniagaan serta pelaburan baharu.

 

Bangunan 51 tingkat tersebut terletak di sebuah tanah pegangan bebas seluas 2.18 ekar yang terletak di lokasi strategik di Pusat Bandar Ampang, Kuala Lumpur, yang dikelilingi pelbagai kawasan komersial dan perumahan. 

 

Ia mempunyai 944 suite kediaman, ruang komersial, kemudahan eksklusif, serta sebuah hotel dengan 145 bilik, yang diuruskan oleh sebuah jenama hotel persendirian terkenal di ibu negara.

 

Pengarah Urusan Radium, Gary Gan Kah Siong berkata, berbanding dengan tahun sebelumnya, sektor hartanah menyaksikan penambahbaikan transaksi dan nilai pada 2022.

 

Katanya, dalam memasuki fasa pemulihan yang bermula 2023 dan seterusnya, pihaknya menjangka bahawa ramai yang akan mempelbagaikan portfolio-portfolio pelaburan mereka untuk menjamin masa hadapan. 

 

"Chancery, dengan lokasinya yang strategik dan kemudahan eksklusif, merupakan peluang ideal untuk para pelabur yang merancang untuk memperkukuh atau mengembangkan portfolio hartanah mereka, selain memberi keuntungan jangka masa panjang melalui pendapatan sewa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

radium
(Dari kiri) Pengarah Eksekutif Projek Radium Development, Gan Kok Peng, Gan Tiong Kian, Gary Gan Kah Siong, Pengarah Eksekutif dan Ketua Hal Ehwal Korporat Undang-Undang dan Sumber Manusia, Chai Woon Hou dan Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas, Datuk Sydney Lim Tau Chin.

 

 

Dengan tumpuan kepada ruang kediaman pelbagai fungsi, suite kediaman Chancery berkeluasan antara 452 kaki persegi sehingga 861 kaki persegi, dan berharga antara RM455,000 ke RM867,000. 

 

Suite Siri A dan B menawarkan unit jenis studio yang moden dan bergaya, manakala Suite Siri C menawarkan suite mewah dengan dua bilik serta dua bilik tidur.

 

Chancery juga menyokong trend kerja hibrid serta pelancongan untuk perniagaan atau santai berikutan wabak COVID-19, dengan kemudahan ruang kerja tercanggih serta pelbagai kemudahan moden lain. 

 

Dengan akses mudah ke infrastruktur pengangkutan awam, jalan-jalan utama, serta lebuh raya seperti Lebuh Raya Bertingkat Ampang Kuala Lumpur (AKLEH) dan Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2), Chancery terletak di lokasi strategik di kawasan komersial serta perumahan, berhampiran pusat perubatan terkenal, serta hanya 5 kilometer daripada KLCC dan segi tiga emas Kuala Lumpur. 

 

Chancery terletak di lokasi ideal yang bersesuaian untuk sewaan jangka masa pendek, sederhana, dan panjang, terutama berkait dengan pelancongan tradisional, kesihatan serta ekspatriat. - DagangNews.com