Revenue Group sahkan 2 pengarahnya ditahan SPRM atas dakwaan tuntutan palsu | DagangNews Skip to main content

Revenue Group sahkan 2 pengarahnya ditahan SPRM atas dakwaan tuntutan palsu

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jan - Revenue Group Bhd mengesahkan dua pengarahnya ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan tuntutan palsu berhubung pembelian kertas percetakan haba bernilai lebih RM400,000.

 

Syarikat pembekal penyelesaian e-pembayaran itu bagaimanapun menjelaskan perniagaan dan operasi tidak terjejas oleh penahanan dua pengarah tersebut memandangkan mereka sudah digantung daripada fungsi eksekutif, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Kumpulan itu memberi reaksi kepada laporan kes berkenaan di dalam akhbar The Star pada Khamis yang mengatakan tiga pengarah syarikat ditahan SPRM termasuk dua beradik berumur 40-an dan 50-an yang merupakan pengarah sebuah syarikat tersenarai awam.

 

Dua beradik itu disyaki bersubahat dengan seorang wanita berusia 30-an yang merupakan pengarah firma lain. 

 

Kedua-duanya didakwa bersubahat membuat 16 pembayaran kepada wanita itu yang telah membuat tuntutan palsu sejak 2020, sebagai memetik laporan itu menurut sumber.

 

Dua pengarah Revenue Group, Brian Ng Shih Chiow dan adiknya, Dino Ng Shih Fang, telah digantung kerja awal bulan ini berikutan aduan yang diterima terhadap mereka berdua.

 

Shih Chiow ialah pemegang saham terbesar kumpulan itu dengan kepentingan sebanyak 11.93%, diikuti Shih Fang sebanyak 11.44%.

 

Sementara itu, Shih Fang dan empat individu tidak dikenali didakwa mengambil 30 kotak dokumen milik kumpulan itu tanpa kebenaran lembaga pengarah.

 

Kumpulan itu kemudian membuat laporan polis di atas dakwaan pecah masuk dan mencuri.

 

Revenue berkata, ia sedang mempertimbangkan untuk melibatkan diri dengan dua firma profesional bebas untuk menjalankan tinjauan khas mengenai perkara itu. 

 

Dalam pada itu, dalam makluman berasingan, ia turut memberitahu akan mengadakan dua mesyuarat agung luar biasa (EGM) secara berasingan menerusi platform maya pada 17 Februari ini. - DagangNews.com