RHB Investment ‘potong’ unjuran pendapatan Petronas Chemicals bagi FY23-25 sebanyak 5-7% akibat bahagian F&M lemah | DagangNews Skip to main content

RHB Investment ‘potong’ unjuran pendapatan Petronas Chemicals bagi FY23-25 sebanyak 5-7% akibat bahagian F&M lemah

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mac - RHB Investment Research mengurangkan unjuran pendapatan Petronas Chemicals Group Berhad bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sebanyak 5 hingga 7% selepas menurunkan anggaran sumbangan bahagian baja dan metanol (F&M).

 

“Kami kekal berhati-hati dalam prospek syarikat tersebut, terutamanya segmen baja memandangkan harga gas lebih rendah dan lebihan bekalan berterusan akibat permintaan yang lembap,” katanya dalam nota hari ini.

 

Menurut firma itu, prospek harga petrokimia tidak memberangsangkan disebabkan harga baja yang dijangka kekal menyusut dengan perlahan memandangkan permintaan lemah dan bekalan berlebihan berikutan harga gas ke arah aliran menurun.

 

Manakala prospek cabang kimia khusus berkemungkinan kekal mencabar pada separuh pertama tahun ini tetapi pengurusan telah memberi panduan hal ini mungkin bertambah baik pada separuh separuh kedua tahun ini.

 

“Kami percaya angka suku pertama tahun ini berkemungkinan masih agak lemah kerana sebarang lantunan semula dalam harga olefin dan bahan terbitan (O&D) mungkin akan diimbangi oleh kelemahan berterusan bahagian baja dan metanol (F&M),” katanya.

 

Loji petrokimia di PIC disasarkan untuk dikomersial pada suku ketiga tahun ini dan boleh mencapai purata penggunaan 60 hingga 70% menjelang akhir tahun, menurut firma itu, ia mungkin mengalami sedikit kerugian atau pulang modal pada tahap terbaik, jika kadar penggunaan tahun pertama sebanyak 60% dicapai.

 

Sementara itu, persaingan tambahan mungkin muncul dalam jangka sederhana berikutan Kompleks Tenaga Pengerang (PEC) ChemOne (pemain petrokimia yang berpangkalan di Singapura) baru-baru ini dijangka mencapai keputusan pelaburan akhir menjelang separuh kedua tahun ini dan beroperasi sepenuhnya menjelang 2026.

 

Firma itu menjangkakan purata kadar penggunaan loji bekas PIC untuk 2023 adalah lebih tinggi pada 90 hingga 91%, di mana pengurusan memberi panduan bahawa loji Chemicals Ammonia Sdn Bhd dan Petronas Chemicals MTBE Sdn Bhd berhenti beroperasi sementara serta enam ‘pitstop’ pada 2023.

 

Kedudukan tunai bersih PCHEM turun sebanyak 56% kepada RM6.2 bilion pada akhir tahun kewangan 2022 (FY22) berikutan pengambilalihan Perstorp namun masih terdapat beberapa projek baharu yang terdiri daripada empat bahan kimia asas dan dua projek kimia khusus pada 2023 hingga 2024 sedang bersiap sedia, berpandukan modal perbelanjaan sebanyak RM1.5 hingga 2 bilion setahun.

 

Bagaimanapun, sumbangan pendapatan daripada projek ini mungkin tidak signifikan.

 

RHB Investment kekal ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) baharu pada RM7.32 daripada RM8.18. -DagangNews.com