RHB Research optimis Sunway Construction raih kontrak baharu bernilai RM2.5 bilion bagi FY23-FY24 | DagangNews Skip to main content

RHB Research optimis Sunway Construction raih kontrak baharu bernilai RM2.5 bilion bagi FY23-FY24

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Jan - RHB Research optimis Sunway Construction Group Bhd. akan mencapai sasaran perolehan kontrak baharu sebanyak RM2.5 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) hingga FY24.

 

Ini mendorong firma itu mengulangi saranan 'beli' terhadap Sunway Construction harga sasaran tidak berubah pada RM2.07 sesaham.

 

Menurutnya, langkah kumpulan untuk membida projek berkaitan pusat data atau perindustrian adalah strategik dan mampu mengurangkan risiko penambahan kerja yang perlahan daripada projek infrastruktur awam, antaranya Transit Aliran Massa (MRT3) yang mungkin tertakluk kepada semakan semula kos.

 

"Selain daripada menerokai projek pusat data yang semakin mendapat tarikan, peningkatan pendapatan selanjutnya mungkin berlaku jika Sunway Construction mengambil alih tugas sebagai kontraktor kejuruteraan, pembinaan dan pentauliahan (EPC) untuk loji janakuasa di Vietnam (nilai kontrak RM6 bilion kepada kumpulan)," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma itu menganggarkan nilai kontrak kumpulan antara RM5.5 hingga RM6 bilion selepas mengambil kira kemenangan kontrak bagi projek pusat data di Johor bernilai RM1.7 bilion pada Disember 2022. 

 

RHB Research melihat kontrak pusat data itu sebagai pendorong pertumbuhan pendapatan di tengah-tengah margin keuntungan sebelum cukai (PBT) yang lebih baik kira-kira 8% dan penyebaran pengiktirafan pendapatan yang lebih besar dalam tempoh yang lebih singkat selama 21 bulan. 

 

Ini adalah berbanding kerja-kerja pembinaan biasa bernilai antara RM200 hingga RM300 juta yang dibilkan antara dua hingga empat tahun secara purata.

 

"Kami juga dapati terdapat kontrak pusat dana di bawah saiz nilai tender kumpulan melebihi RM10 bilion, yang kemungkinan merangkumi kerja-kerja seperti Rapid Transit System Link Johor Bahru-Singapura," tambahnya.

 

Setakat 11.24 pagi, harga saham Sunway Construction kekal tidak berubah pada RM1.67 sesaham. -DagangNews.com