Rizab antarabangsa BNM meningkat kepada AS$114.9 bilion pada 13 Januari 2023 | DagangNews Skip to main content

Rizab antarabangsa BNM meningkat kepada AS$114.9 bilion pada 13 Januari 2023

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jan - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia  (BNM) meningkat kepada AS$114.9 bilion (RM492.33 bilion) pada 13 Januari 2023 daripada AS$114.6 bilion dicatatkan pada 30 Disember 2022.

 

Bank pusat dalam satu kenyataan hari ini berkata paras rizab ini memadai untuk membiayai 5.3 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

 

Katanya, paras rizab itu memadai untuk membiayai 6.2 bulan import barangan tertangguh.

 

BNM berkata, komponen utama rizab antarabangsa adalah rizab mata wang asing (AS$102.6 bilion (RM439.63 bilion)), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.4 bilion (RM6 bilion)), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$5.7 bilion (RM24.42 bilion)), emas (AS$2.3 bilion (RM9.86 bilion)) dan aset rizab lain (AS$2.9 bilion (RM12.43 bilion)).

 

Aset tersebut terdiri daripada emas, pertukaran asing dan rizab lain termasuk SDR (RM504.52 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.82 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM4.89 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM23.70 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) serta aset-aset lain (RM71.72 bilion).

 

Menurut bank pusat, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM160.36 bilion), mata wang dalam edaran (RM164.62 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM210.58 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM9.78 bilion), deposit lain (RM38.06 bilion), kertas Bank Negara (RM5.95 bilion), peruntukan SDR (RM28.21 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM4.12 bilion). - DagangNews.com