PONTIAN 26 Okt - Walaupun pernah diherdik dan dihina sebagai insan yang tidak layak dibantu, namun wanita ini berjaya bangkit semula dan berbangga dengan kejayaan yang dikecapi hari ini.
Herdikan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat seorang Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang juga pemilik Pemilik Restoran Selera Tradisi Catering, Faridah Hanim.
Dia berkata, meskipun kata-kata itu membuatnya terguris hati namun dia tidak mahu terus bersedih dan nekad melakukan pelbagai jenis perniagaan bagi meneruskan hidup.
Katanya, dia bersyukur kerana suami dan anak-anak sentiasa bersamanya ketika susah mahupun senang sehinggalah perniagaan restorannya yang menghidangkan menu tradisi Melayu termasuk ketupat, burasak dan rendang sejak 22 tahun lalu kini dikenali ramai hingga ke Singapura.
"Biasalah dalam perniagaan ini ada jatuh bangun, permulaan saya berniaga memang agak susah sedikit, kadang-kadang berniaga modal tidak cukup dan ketika susah siapa yang mahu dekat.
"Pihak berkenaan anggap kita pun takut macam kita mahu pinjam duit, sampai cakap saya tiada pun tak mengapa, sebab saya menyusahkan, sampai cakap macam itu.
"Jadi kita belajar daripada situ, bangun sendiri sampai satu hari kita pernah pecahkan tabung untuk buat modal balik, sebab berniaga ini kadang-kadang ketupat tak habis.
"Saya kemudian perlahan-lahan betulkan kesilapan, contohnya jika ketupat keras bagaimana nak buat jadi lembut, saya belajar semula," katanya ketika ditemui di Jalan Alsagoff, Pontian Kechil di sini baru-baru ini.
Faridah berkata, bagaimanapun beliau sudah memaafkan pihak itu dan kini mahu mengembangkan perniagaan termasuk mewujudkan perkhidmatan dewan jamuan, inap desa dan katering di bawah satu bumbung.
Perancangannya, perniagaan itu kelak dapat diwarisi oleh anak sulungnya, Farha Mohd Sabri, 34. Namun Allah SWT Maha Mengetahui dan sebaik-sebaik perancang. Farha yang diharapkan menyambung legasi perniagaannya telah kembali ke rahmatullah pada 5 Ogos lalu.
“Niat saya untuk mewariskan legasi perniagaan itu kepada Farha, tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia akibat komplikasi mengandung di luar rahim.
"Memang saya mengharapkannya sebab dia memang tahu selok belok berniaga, tiba-tiba dia tiada. Saya betul-betul terasa kehilangannya. Sampai hari ini pun saya tak boleh nak percaya, saya memang tak perasan apa-apa perubahan sikap menjelang hari kematiannya.
"Arwah seorang anak yang baik dan menyenangkan hati serta patuh kepada orang tua, dia banyak membantu dan sehingga sekarangpun saya masih terasa arwah seolah-olah berada di sekeliling saya termasuk di kedai ini," katanya.
Farha meninggalkan seorang suami dan anak perempuan berusia setahun enam bulan.
Faridah berkata, sebagai seorang muslimat, beliau redha dengan takdir menimpa dan kini meneruskan kehidupan seperti biasa bagi melaksanakan amanah termasuk menjadi usahawan wanita contoh seperti janjinya terhadap Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
"AIM sudah dua kali memberikan saya pinjaman RM30,000 setiap satu dan memang bantuan itu dijadikan modal pusingan untuk perniagaan restoran saya termasuk untuk tempahan katering majlis perkahwinan dan saya sangat berterima kasih kepada AIM," katanya. - DagangNews.com