Selepas OPV 1, dua lagi kapal APMM perlu disiapkan TH Heavy Engineering | DagangNews Skip to main content

Selepas OPV 1, dua lagi kapal APMM perlu disiapkan TH Heavy Engineering

OPV 1 berjaya dilancarkan ke air pada 10 Oktober 2022 dan bakal menjalani ujian sistem sebelum ditauliahkan.
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 12 Okt - Setelah hampir dua tahun tertangguh, kapal peronda luar pesisir (OPV) pertama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang dibina dalam negara berjaya dilancarkan ke air Isnin lalu.

 

Kejayaan ini juga mengembalikan reputasi TH Heavy Engineering (THHE) yang sebelumnya berdepan dengan isu kelewatan menyiapkan pembinaan tersebut.

 

Kerja-kerja melancarkan  kapal  OPV 1 itu diadakan di Limbungan THHE Pulau Indah, Selangor pada pukul 5.57 pagi menggunakan sistem pelancaran Air Balloon.

 

Ia juga dilihat sebagai kejayaan bagi semua peringkat yang terbabit dalam program pembinaan kapal ini.

 

APMM

 

Setelah gagal dilancarkan pada 13 September lalu, THHE terpaksa mengubah cara pelancaran kapal kepada kaedah Air Ballon dan menetapkan 10 Oktober sebagai tarikh baharu.

 

Bagaimana pun, atas sebab-sebab yang tidak diketahui majlis pelancaran yang sepatutnya dibanggakan ini tidak mendapat liputan media atau mungkin pihak media tidak dijemput.

 

Mengikut jadual asal, OPV ini sepatutnya telah diserahkan kepada APMM pada Ogos lalu tetapi tidak dapat disiapkan setelah tertunda selama 18 bulan.

 

Kontrak perolehan tiga OPV bernilai RM738.9 juta ini dimeterai pada Januari 2017 untuk disiapkan dalam tempoh 42 bulan dan sepatutnya siap pada Julai 2020. 

 

Melihat pada kemampuan tenaga kerja THHE menyiapkan OPV 1 sehingga dapat dilancarkan ke air, sudah pasti mereka juga akan tidak berhadapan masalah untuk menyiapkan dua kapal seterusnya.


 

Laksamana Maritim Dato’ Zubil Mat Som
    Dato’ Zubil Mat Som

 


Sementara itu, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Dato’ Zubil Mat Som dalam kenyataan memberitahu, selepas ini pihak THHE akan menghidupkan dan mentauliah sistem kapal, membuat ujian di laut serta menyediakan latihan.

 

Menurut beliau, kesemua kru kapal akan menjalani selama tiga bulan sebelum majlis penyerahan kapal OPV 1 kepada APMM dibuat pada awal tahun 2023.

 

"Kapal OPV 1 berkemampuan melakukan pengawasan jarak jauh sehingga ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan di luar jangkauan kapal-kapal kecil. 

 

"Kapal yang direkabentuk mengikut reka bentuk kapal Damen 1800 itu berkeupayaan melaksanakan operasi di laut dalam tempoh maksimum 21 hari tanpa ulang bekal," ujar beliau.

 

Selepas diserahkan kepada APMM kelak, kapal OPV 1 dijangka akan beroperasi di kawasan perairan sekitar Beting Patinggi Ali, Sarawak.

 

Sebelum ini, kelewatan projek OPV mendapat perhatian umum apabila membandingkannya dengan isu pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

APMM

 

Program LCS dengan kos RM9 bilion yang sepatutnya siap tiga tahun lalu masih tergantung dan kini memasuki masa mobilisasi untuk disambung pembinaannya.

 

Sebab itu penting bagi THHE untuk menyiapkan OPV 1 ini dan seterusnya memberi tumpuan pada dua buah OPV yang masih dalam pembinaan.

 

Bagi APMM, kapal-kapal ini sangat diperlukan kerana ia merupakan sebahagian daripada fasa pemodenan pasukan tersebut yang ketika ini mengoperasikan kapal-kapal lama.

 

Mengikut perancangan, tiga OPV ini akan ditempatkan di Malaysia Timur dengan tumpuan pada tugas rondaan di perairan Laut China Selatan.

 

Ketika ini APMM hanya mempunyai empat buah OPV terpakai iaitu KM Langkawi dan KM Bangi yang dahulunya diguna Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sejak tahun 1987.

 

Kapal-kapal ini telah dilucut tauliah pada Jun 2006 untuk dibaik pulih sebelum memasuki perkhidmatan APMM pada awal 2008.

 

APMM
Kapal KM Arau berusia 32 tahun yang disumbangkan kerajaan Jepun.

 

Dua kapal lain ialah KM Pekan dan KM Arau yang diserahkan oleh Pasukan Pengawal Pantai Jepun pada 2016 dan 2017 sebagai salah satu bentuk kerjasama keselamatan.

 

Sebuah lagi kapal yang dihibahkan Jepun ialah KM Marlin, iaitu kapal bersaiz 40 meter yang digunakan sebagai kapal latihan dan rondaan.

 

KM Pekan dan KM Arau yang dibina pada tahun 1990 juga merupakan kapal terbesar dalam aset APMM ketika ini.

 

Bagaimana pun, tidak kesemua empat buah OPV ini berada di laut pada satu-satu masa untuk menjalankan rondaan kerana ada antaranya berada di limbungan untuk diselenggara.

 

Pada usia kapal-kapal ini melebihi 35 dan 32 tahun, ia mempunyai limitasi tertentu walaupun boleh belayar lama berbanding kapal-kapal peronda kecil.

 

Mungkin dalam tempoh lima tahun lagi kapal-kapal ini tidak lagi berada dalam armada APMM.

 

APMM
APMM memerlukan lebih banyak kapal-kapal besar bagi menjaga perairan negara.

 

Biarpun pihak THHE sehingga kini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kapal-kapal seterusnya, tetapi difahamkan progres OPV 2 adalah 60 peratus manakala OPV 3 sekitar 30 peratus.

 

Ini juga memberi cabaran besar kepada para petugas di limbungan dan juga pihak pengurusan THHE untuk menyempurnakan tanggungjawab yang diberi kerajaan. -DagangNews.com