SNS Network bekal produk, aksesori Apple kepada Kumon Malaysia | DagangNews Skip to main content

SNS Network bekal produk, aksesori Apple kepada Kumon Malaysia

Pengarah Urusan SNS, Ko Yun Hung (kiri) dan Pengurus Besar Kumon Malaysia, Atsushi Hasegawa (kanan) memeterai perjanjian bagi membekal produk dan aksesori Apple iPad.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mac - SNS Network Technology Berhad menerusi anak syarikatnya, SNS Network (M) Sdn.  Bhd, telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Kumon Education (Malaysia) Sdn.  Bhd. bagi membekalkan produk dan aksesori Apple iPad kepada pelajar Kumon Malaysia.

 

Kumon Malaysia adalah sebahagian daripada program pengayaan selepas sekolah terbesar yang ditubuhkan di dunia dengan lebih 4 juta pelajar kini mendaftar di 50 negara dan wilayah.  

 

Perjanjian kerjasama itu meliputi lebih 200 pusat pembelajaran Kumon dan boleh memanfaatkan lebih 37,000 pelajar di Malaysia.

 

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, SNS akan mencipta dan menyelenggara portal yang boleh diakses oleh ibu bapa dan pelajar Kumon Malaysia sambil turut melaksanakan semua perkhidmatan yang berkaitan dengan pembekalan produk dan aksesori Apple iPad.

 

Pengarah Urusan SNS, Ko Yun Hung berkata, kerjasama itu membolehkan Kumon Malaysia mendapat akses kepada rangkaian produk dan aksesori Apple yang ditawarkan oleh SNS.

 

"Produk ini akan memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar selepas sekolah, memberikan mereka akses kepada alatan untuk merangsang minda mereka dan membolehkan mereka berinteraksi antara satu sama lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Pengurus Besar Kumon Malaysia, Atsushi Hasegawa berkata, pembekalan produk dan aksesori iPad melalui kerjasama dengan SNS adalah sebahagian daripada ciri Kumon Connect yang dilancarkan pada Januari 2023 untuk menggalakkan pelajar menikmati proses pembelajaran bersama-sama dalam talian.  

 

"Kami percaya bahawa pembelajaran digital semakin menjadi bahagian penting dalam keseluruhan proses pembelajaran untuk pelajar dan kami ingin mereka memulakan permulaan yang baik," katanya. - DagangNews.com