T7 Global raih kontrak bernilai RM100 juta menerusi segmen tenaga, beri impak positif kepada hasil kumpulan | DagangNews Skip to main content

T7 Global raih kontrak bernilai RM100 juta menerusi segmen tenaga, beri impak positif kepada hasil kumpulan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Jan - T7 Global Bhd. memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM100 juta di bawah segmen tenaga untuk perkhidmatan pengambilan dan tenaga manusia, serta perkhidmatan pembinaan luar pesisir.

 

Kontrak itu diperoleh menerusi dua surat anugerah dengan salah satunya daripada kumpulan syarikat PTTEP untuk perkhidmatan pengambilan pekerja.

 

Sementara itu, surat kedua adalah daripada Hibiscus Oil & Gas Malaysia Limited untuk perkhidmatan penyahtauliahan kemudahan untuk South Angsi Alpha.

 

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan T7 Global, Tan Kay Zhuin berkata, anak syarikatnya T7 Intelligent Resources Sdn Bhd (T7 IR) telah memperoleh beberapa kontrak tenaga kerja daripada pengeluar tenaga yang serupa.

 

Katanya, kumpulan optimis segmen tenaga kerja akan terus berkembang di rantau ini memandangkan projek yang diperoleh daripada Hibiscus penting untuk T7 melaksanakan projek penyahtauliahan kemudahan luar pesisir dalam skala sedemikian.

 

“Terdapat inisiatif untuk Rig-to-Reef dengan menukar struktur kepada terumbu tiruan untuk  meningkatkan habitat marin di lokasi yang dimaksudkan.

 

“Kami melihat ini sebagai pendekatan yang mampan untuk pengendali minyak dan gas maju ke hadapan yang boleh menyumbang kepada agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

“Untuk beberapa tahun akan datang, kami akan meninjau lebih banyak projek berkaitan ESG di rantau ini,” katanya.

 

Projek-projek tersebut dijangka menyumbang terhadap perolehan dan aset bersih syarikat dalam tempoh dua tahun akan datang. – DagangNews.com