Tabung Haji sumbang RM600,000 kepada 20 IPTA terpilih seluruh negara | DagangNews Skip to main content

Tabung Haji sumbang RM600,000 kepada 20 IPTA terpilih seluruh negara

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad bersama Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar, Datuk Seri Amrin Awaluddin (kanan), barisan Naib Canselor serta wakil pengurusan tertinggi IPTA, penerima sumbangan TH melalui Program Iqra’ IPTA TH 2022 di UTHM, Batu Pahat, Johor pada 26 Oktober 2022.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Okt - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyalurkan sumbangan sebanyak RM600,000 kepada setiap 20 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terpilih seluruh negara melalui Program Iqra’ TH IPTA 2022. 

 

Dana ini akan diagihkan kepada lebih 30,000 penuntut IPTA dalam kalangan keluarga asnaf atau kurang berkemampuan terutamanya masyarakat pedalaman, luar bandar dan miskin bandar.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, program tersebut merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TH yang akan memberikan manfaat kepada penuntut dalam kalangan B40 dan asnaf.

 

“Kami berharap agar sumbangan ini dapat meringankan beban kewangan dan memudahkan urusan penuntut IPTA dalam meneruskan pembelajaran mereka sehingga tamat pengajian dan seterusnya dapat mengubah taraf hidup ekonomi keluarga.

 

“Sumbangan CSR TH yang terbesar ini, diharapkan dapat melahirkan mahasiswa yang lebih komited, berkualiti, mampu berdaya saing di semua peringkat dan memastikan mereka berupaya menjadi insan cemerlang pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Program Iqra’ TH pada mulanya hanya tertumpu kepada pelajar sekolah rendah seterusnya TH telah meluaskan bantuan sasaran kepada pelajar asnaf dan B40 yang mengikuti pengajian di peringkat menara gading.

 

TH sentiasa komited dalam menjalankan program-program CSR bagi membantu golongan sasar khususnya golongan asnaf, dalam pembangunan ummah yang lestari. Antara program-program CSR TH lain termasuklah Program Ikhtiar, Mobiliti, A’fiat dan Ehsan.

 

 

th

 

 

Terdahulu, penyerahan ‘mock-cheque’ sumbangan tersebut telah diserahkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad kepada 20 wakil IPTA ketika Majlis Penyerahan Program Iqra’ TH IPTA 2022 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor. - DagangNews.com