KUALA LUMPUR 14 Nov - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) terus mendapat sokongan agensi-agensi kerajaan dalam menggiatkan peralihan tenaga dengan terkini daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Melalui Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE), GSPARX akan memasang sistem solar fotovoltaik atas bumbung di 14 premis kepunyaan Felda di Semenanjung Malaysia dengan kapasiti berjumlah 1.6 MWp.
Ketua Pegawai Retail TNB, Kamal Arifin A. Rahman berkata, inisiatif teknologi hijau itu bakal mempertingkatkan impak pembangunan mesra alam dan kesejahteraan sejagat sejajar komitmen TNB terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Perjanjian ini juga merangkumi solusi tenaga pintar lain seperti Green Electricity Tariff (GET) apabila kuota tersedia, seterusnya aspek kecekapan tenaga dan sistem pemantauan tenaga (EMS – Energy Monitoring System) dalam mengurangkan pelepasan karbon,” katanya di majlis menandatangani SARE di Menara Felda baru-baru ini.
Ia ditandatangani Ketua Pegawai Pelanggan (Government & Large Business) Bahagian Retail TNB, Nasaruddin Mohd Zaini; Pengarah Urusan, GSPARX Sdn.Bhd., Elmi Fairul Mashuri dan Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar.
Perjanjian itu turut disaksikan oleh Timbalan Pengarah Besar Operasi Felda, Izham Mustaffa dan Ketua Pegawai Strategi & Teroka TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan.
Pemasangan panel solar fotovoltaik itu merangkumi pelbagai bangunan termasuk Menara Felda, Institut Semarak Felda serta pejabat-pejabat wilayah di negeri Kedah, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Menurut Kamal, kerja-kerja pemasangan dijadualkan siap pada bulan Mei 2023 dan inisiatif beralih kepada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) ini membolehkan Felda menikmati anggaran penjimatan bil elektrik sebanyak RM10.74 juta untuk tempoh 20 tahun perjanjian.
Katanya, ia adalah sejajar aspirasi nasional menuju negara neutral karbon menjelang 2050 apabila inisiatif tersebut mampu mengurangkan 1,321 tan metrik karbon dioksida setiap tahun bersamaan pemerangkapan gas rumah hijau oleh 24,232 pokok dalam tempoh 10 tahun.
Serentak itu, ia juga adalah manifestasi pemerkasaan ESG oleh pihak Felda sebagai sebuah agensi berteraskan perladangan dan mobiliti social, seterusnya menjadi pemangkin kepada agensi yang setara dalam mengadaptasi pembangunan lestari.
Berucap di majlis itu, Izham menyatakan bahawa Felda yakin projek berkenaan menjadi permulaan terbaik kepada kerjasama mampan selain menyokong setiap usaha ke arah merealisasikan sasaran TBB, sekali gus memelihara alam sekitar melalui penjanaan berkesan tenaga hijau.
“Kami amat mengalu-alukan program persefahaman sebegini khususnya menyokong kepada langkah penjimatan kos pengurusan selain menjadi perintis kepada penerokaan sumber boleh diperbaharui oleh pihak Felda," katanya.
Sehingga kini, GSPARX telah memperoleh 287 projek dengan organisasi komersial, perindustrian dan kerajaan, menjana sejumlah 232 MWp kapasiti solar.
Antaranya Mydin Mohamed Holdings Berhad, Sime Darby Properties, Jabatan Kerja Raya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Seremban, Majlis Bandaraya Ipoh, Universiti Putra Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Kolej Universiti TATI, Perak Transit, Lumileds, SKF Bearing, CJ Bio, Spirit Aerosystems, Primula Beach Hotel dan SMART Penang. - DagangNews.com