TNB raih anugerah Emas Tertinggi sempena AIGA 2022 | DagangNews Skip to main content

TNB raih anugerah Emas Tertinggi sempena AIGA 2022

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (dua dari kanan) menyampaikan Anugerah Emas kepada Datuk Ir. Baharin Din (dua dari kiri) di majlis AIGA Kebangsaan 2022 yang julung kali dianjurkan Institut Integriti Malaysia (IIM). Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah IIM, Tan Sri Datuk Dr. Ahmad Tajuddin Ali (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi (kiri).
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Jan - Tenaga Nasional Berhad (TNB) meraih anugerah Emas Tertinggi sempena Anugerah Integriti, Tadbir Urus dan Anti Rasuah (AIGA) Kebangsaan 2022 pada 18 Januari lalu.

 

Pengiktirafan tersebut mengukuhkan intergriti TNB dan menjadi mercu tanda pencapaian dalam komitmennya terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Baharin Din menyifatkan anugerah itu sebagai penghargaan bernilai kepada pematuhan warga kerja TNB.

 

“TNB secara berterusan mengambil pelbagai inisiatif dalam memperteguh integriti termasuklah melaksanakan pelbagai program seperti bengkel dan latihan, penambahbaikan sistem kerja dan pentadbiran, tindakan penguatkuasaan dan membangunkan budaya kerja terpuji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Datuk Ir. Baharin Din
Datuk Ir. Baharin Din

 

Antara inisiatif integriti TNB ialah memperoleh pensijilan ISO 37001 ‘Anti Bribery Management System’ daripada SIRIM QAS International.

 

Pensijilan tersebut adalah untuk membangunkan Integrity Health Index (IHI) bagi mengukur tahap integriti secara objektif dan melatih pegawai di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjadi pegawai integriti bertauliah (CeIO).

 

Baharin berkata, TNB dan SPRM telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tahun lalu bagi membolehkan kedua-dua organisasi mengadakan pelbagai aktiviti bersama bagi tempoh lima tahun.

 

MoU tersebut mengukuhkan lagi kerjasama yang sedia terjalin dengan merangkumi perkongsian maklumat dan kepakaran, menambah baik sistem dan prosedur TNB, pelaksanaan operasi pengesanan bersama serta program kesedaran dan latihan.

 

Menurut beliau, usaha-usaha mengukuh integriti itu memperkasakan warga kerja dengan menyerlahkan potensi dan memupuk nilai-nilai serta budaya mereka dalam mendukung tadbir urus yang mengamalkan perniagaan beretika dan berbudaya dengan semangat penuh bertanggungjawab.

 

“Ia berpaksikan akauntabiliti, ketelusan dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, sekali gus menyokong agenda ke-16 Matlamat Pembangunan Lestari 2030.

 

“Agenda itu adalah untuk memperbaiki kehidupan rakyat melalui peningkatan akses kepada keadilan dan menggalakkan institusi yang berkesan, bertanggungjawab dan inklusif,” katanya.

 

Menurut beliau, agenda tersebut diwujudkan agar manusia dapat menikmati keamanan dan kemakmuran dengan menyeimbangkan ekonomi, sosial dan alam sekeliling.

 

Perkara ini boleh diterjemahkan melalui enam nilai teras budaya warga kerja TNB meliputi integriti, kerjasama, profesionalisme, mengutamakan pelanggan, berwawasan dan prihatin.

 

AIGA Kebangsaan julung kali diadakan dengan menerima 116 penyertaan sektor awam dan swasta sebagai satu mekanisme mengukur komitmen, usaha serta keberkesanan inisiatif integriti dan tata kelola organisasi. - DagangNews.com