Tourism Selangor lancar kempen Ramadan bantu pengusaha produk pelancongan, peniaga kecil | DagangNews Skip to main content

Tourism Selangor lancar kempen Ramadan bantu pengusaha produk pelancongan, peniaga kecil

Bazar Ramadan di Kompleks PKNS Shah Alam, Selangor - Gambar Facebook Kompleks PKNS Shah Alam
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mac - Tourism Selangor melancarkan Festival Ramadan Tourism Selangor 2023, yang bertujuan membantu pengusaha-pengusaha produk pelancongan dan peniaga kecil di negeri itu.

 

Tourism Selangor dalam kenyataan berkata, festival tersebut merangkumi lima program utama yang berbeza, antaranya Direktori Bufet Ramadan, Selera Ramadan Tourism Selangor, Peraduan Bufet Ramadan, Terjah Bazar Ramadan dan Raya Sakan bersama Tourism Selangor.

 

Katanya, sepanjang Ramadan yang mulia ini, Tourism Selangor mengambil peluang untuk menekankan beberapa tarikan terbaik negeri termasuk hotel, pusat beli belah dan 'street food'.

 

"Bagi memulakan Festival Ramadan Tourism Selangor 2023, kami mengumpulkan 16 pemain industri daripada hotel-hotel terpilih di negeri Selangor dengan menawarkan bufet Ramadan terbaik melalui Direktori Bufet Ramadan yang tersedia di platform digital Selangor.Travel. 

 

"Ia bertujuan untuk memberikan pengalaman gastronomi maksima, pakej bufet Ramadan yang ditawarkan pada tahun ini merupakan salah satu acara utama yang memberikan peluang besar untuk pemain industri hotel di negeri Selangor, yang telah terjejas sepanjang pandemik," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, sebagai penghargaan terhadap pemain-pemain industri, satu siri 'food review' melalui Selera Ramadan Tourism Selangor telah dikongsikan untuk orang awam di platform TikTok @TourismSelangor. 

 

Katanya, orang ramai juga berpeluang memenangi baucar bufet Ramadan bernilai sehingga RM11,000 melalui tiga siri peraduan di platform digital Tourism Selangor seperti Selangor.Travel dan TikTok @TourismSelangor.

 

 

tourism

 

 

Tambah kenyataan itu, bagi menyokong ekonomi tempatan, siri program akan dijalankan seiring dengan objektif Festival Ramadan Tourism Selangor 2023, yang bukan sahaja membantu pengusaha produk pelancongan, malah memfokuskan kepada peniaga-peniaga kecil.

 

"Terjah Bazar Ramadan dan Raya Sakan Bersama Tourism Selangor akan mengumpulkan lebih 40 peniaga kecil, penjaja dan pusat beli-belah untuk menggalakkan kuasa membeli di negeri ini sepanjang Ramadan dan Aidilfitri, seperti Bazar Ramadan yang berpotensi untuk dipromosikan serta kawasan membeli belah di Selangor bagi sambutan Aidilfitri," katanya.

 

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad, menjadi tanggungjawab pihaknya untuk membantu serta mempromosikan tarikan pelancong berpotensi di Selangor khususnya bagi pemain-pemain industri yang terjejas. - DagangNews.com