KUALA LUMPUR 8 Nov - Eco World Development Group Bhd. (EcoWorld) menjelaskan anak syarikat milik penuhnya, Hasrat Budi Sdn. Bhd. (HBSB) tidak lagi memiliki sebarang kepentingan dalam MySJ Sdn. Bhd.
Syarikat pemaju hartanah itu berkata, cek harga opsyen telah dijelaskan antara Entomo Malaysia Sdn. Bhd. (pengendali aplikasi MySejahtera), dan pengasas serta ketua pegawai eksekutif kumpulannya serta pengarah MySJ, Raveenderen Ramamoothie.
"Sehubungan itu, saham dalam MySJ yang dipegang oleh HBSB akan dipindahkan semula, di mana HBSB tidak akan lagi memegang sebarang saham dalam MySJ.
"Wakil HBSB juga akan meletakkan jawatan sebagai pengarah MySJ," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Pengumuman itu dibuat berikutan penghakiman persetujuan pada 28 Julai lalu untuk membolehkan Entomo (dahulunya dikenali sebagai KPISoft Malaysia Sdn. Bhd.) dan Raveenderen membeli semua saham HBSB dalam MySJ.
Menurut laporan The Edge, dalam pengumuman di Bursa Malaysia bertarikh 28 Oktober lalu, EcoWorld berkata, harga opsyen mewakili kos pembelian asal HBSB sebanyak RM24 juta ditambah premium pada kadar 10% setahun, dikira mulai 27 Ogos 2021 hingga 2 November 2022.
Pengarah tunggal semasa yang dilantik oleh HBSB dalam lembaga MySJ ialah Tan Sri Liew Kee Sin, yang merupakan pengerusi EcoWorld.
Sementara itu, pengarah eksekutif EcoWorld, Datuk Heah Kok Boon ialah pengarah gantian Kee Sin dalam lembaga MySJ.
Pada Februari lalu, HBSB memfailkan saman terhadap Entomo, pemegang saham MySJ, Revolusi Asia Sdn. Bhd., Raveenderen, pengarah MySJ Anuar Rozhan dan Tan Sri Shahril Shamsuddin, dan MySJ untuk menegaskan hak kontraknya yang ketat di bawah perjanjian pemegang saham, kerana konflik atas jawatan pengarah MySJ. - DagangNews.com