Untung bersih Tasco bagi 9MFY23 mengatasi unjuran MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Tasco bagi 9MFY23 mengatasi unjuran MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Feb - Pendapatan positif Tasco Berhad yang diraih pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2022 (3QFY23) adalah sumbangan segmen perniagaan domestik yang lebih kukuh daripada jangkaan.

 

MIDF Research berkata, kumpulan itu merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) Tasco Berhad sebanyak RM24.7 juta pada suku ketiga berakhir Disember 2022 (3QFY23) menjadikan untung bersih bagi 9MFY23 sebanyak RM70.3 juta.

 

"Pencapaian itu adalah melebihi jangkaan menjadikan 84% dan 88% daripada unjuran firma dan konsensus," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan meningkat lebih dua kali ganda kepada RM20.44 juta 3QFY23 daripada RM8.81 juta setahun sebelumnya, dibantu oleh pengurangan perbelanjaan bukan operasi dan am kepada RM5.6 juta daripada RM22. 8 juta di bahagian sokongan.

 

Pendapatan terjejas pada 3QFY23 disebabkan oleh hapus kira bangunan gudang di Pusat Logistik Shah Alam (yang telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan semula gudang moden empat tingkat baharu) dan hapus kira hartanah, loji dan peralatan yang rosak akibat banjir, yang berjumlah RM15.9 juta.

 

Firma itu menyemak naik pendapatan bagi FY23/FY24/FY25 antara 7.5% hingga 8% didorong sumbangan yang lebih tinggi daripada bahagian kontrak logistik.

 

Katanya, kumpulan itu membuktikan daya tahan pendapatannya walaupun kadar tambang pasaran kembali normal disebabkan oleh peningkatan pampasan daripada jumlah penghantarannya.

 

"Kumpulan mempunyai pendedahan yang besar dalam pasaran elektronik & elektrik (E&E) dan semikonduktor, yang telah memacu eksport," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) TP RM1.87 sesaham. - DagangNews.com