Untung bersih VS Industry melonjak kepada RM60.71 juta pada suku pertama | DagangNews Skip to main content

Untung bersih VS Industry melonjak kepada RM60.71 juta pada suku pertama

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Dis - Untung bersih VS Industry Bhd. melonjak 54% kepada RM60.71 juta pada suku pertama berakhir 31 Oktober 2022 berbanding RM39.39 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Peningkatan itu didorong jualan yang lebih tinggi daripada pelanggan utama sedia ada, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Pendapatan pada suku berkenaan turut meningkat 33.7% kepada RM1.29 bilion daripada RM967.99 juta.

 

Segmen di Malaysia merekodkan peningkatan hasil sebanyak 62.1% pada suku tersebut dengan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM77.7 juta.

 

Bagaimanapun, segmen Singapura yang merupakan cabang pemasaran bagi operasi di Malaysia mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM1.1 juta terutamanya disebabkan pesanan jualan yang lebih rendah daripada pelanggan utama.

 

Bagi segmen Indonesia pula, kerugian sebelum cukai meningkat kepada RM4.8 juta pada suku tersebut sejajar dengan peningkatan jualan.

 

Mengenai prospek kumpulan, VS Industry berkata, banyak cabaran menanti pada tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023 (FY23). 

 

Menurutnya, isu makroekonomi global seperti kenaikan inflasi dan kadar faedah menyebabkan kos sara hidup meningkat, sekali gus menjejaskan sentimen pengguna dan kuasa membeli.

 

"Namun, buat masa ini, aliran pesanan daripada pelanggan masih kekal memuaskan. Tanpa keadaan tidak dijangka, lembaga pengarah melihat prestasi kewangan pada suku seterusnya akan memenuhi jangkaan," katanya. - DagangNews.com