UPM bantu 50 pelajar B40 di Pontian buat persediaan hadapi SPM | DagangNews Skip to main content

UPM bantu 50 pelajar B40 di Pontian buat persediaan hadapi SPM

Pelajar SPM yang terlibat berpeluang untuk melawat ke fasiliti menarik UPM.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

SERDANG 25 Jan - Majlis Perwakilan Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG) Universiti Putra Malaysia (UPM) bantu 50 pelajar dari Pontian, Johor untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 pada bulan hadapan.

 

Pelajar daripada golongan B40 ini dipilih menerusi tiga buah sekolah menengah dari Mukim Rimba Terjun untuk mengikuti Kem Jati Diri Pelajar SPM 2023 yang diadakan selama tiga hari, baru-baru ini.

 

Pengarah program, Muhammad Rusydan Zahariman berkata, program kesukarelawanan itu memberi motivasi dari segi potensi, kekuatan dan jati diri serta ukhuwah melalui latihan dalam kumpulan kepada pelajar terlibat.

 

Fasilitator UPM membimbing aktiviti berkumpulan pelajar.
Fasilitator UPM membimbing aktiviti berkumpulan pelajar SPM.

 

“Pelajar diberi pendedahan awal mengenai peluang melanjutkan pengajian selepas SPM supaya mereka menjadi pelajar yang holistik sebelum melangkah ke universiti.

 

“Menariknya, 50 pelajar sekolah ini mendapat bantuan daripada 50 fasilitator pelajar UPM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu Pengetua KTAG, Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Shukri Muhammad Noor berkata, penglibatan pelajar UPM sebagai fasilitator dalam program itu selaras dengan Teras Kesukarelawanan dan Kebolehpasaran Graduan dalam Pelan Strategik Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM 2021-2023.

 

Pelajar SPM B40 dari tiga buah sekolah menengah di Pontian berserta fasilitator KTAG UPM

 

“Fasilitator pelajar UPM terlibat dilatih untuk menguruskan aktiviti dan kebajikan peserta kem dan sebagai persediaan untuk mereka melangkah ke alam realiti pekerjaan kelak,” katanya.

 

Menurut Ahmad Shukri, kerjasama antara peserta melalui latihan dalam kumpulan sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang mempunyai daya cipta tinggi seperti terkandung dalam konsep Malaysia Madani.

 

Program tersebut turut dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Tertinggi Pelajar Pusat Asasi Sains Pertanian UPM, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Kawasan 6 Mukim Rimba Terjun, Pontian. - DagangNews.com