UWC optimis terhadap prospek perniagaan, operasi industri - HLIB | DagangNews Skip to main content

UWC optimis terhadap prospek perniagaan, operasi industri - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Mac - UWC Berhad optimis terhadap prospek perniagaan dan operasi industri yang sedang dijalankan pada tahun-tahun akan datang. 

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, keyakinan itu adalah berikutan kemudahan bilik bersih kelas 100 dan kumpulan itu menjangkakan untuk meningkatkan pendedahan bagi meraih lebih banyak projek baharu pada masa akan datang.

 

"Kumpulan ini secara aktif bekerjasama dengan bakal pelanggan hadapan untuk pemindahan projek dan yakin dalam mendapatkan pesanan daripada pelanggan baharu.

 

"Dalam segmen sains hayat/perubatan, ia terlibat dalam pelbagai pemindahan projek dengan pelanggan untuk mendapatkan lebih banyak projek," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu merosot sebanyak 23.8% kepada RM19.1 juta pada suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023 (2QFY23), daripada RM25.1 juta setahun lalu, terutamanya didorong oleh kos kakitangan yang lebih tinggi dan kerugian pertukaran mata wang asing.

 

Hasil bagi tempoh itu meningkat sebanyak 15% kepada RM91.9 juta, terutamanya disebabkan penglibatan yang lebih kukuh dalam kedua-dua semikonduktor serta sains hayat dan industri perubatan.

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Januari 2023 (6MFY23), keuntungan bersih hampir tidak berubah pada RM48.35 juta, manakala hasil meningkat 18.6% kepada RM184.04 juta.

 

Firma itu berkata, kadar tempahan kerja kumpulan itu lebih rendah sebanyak 10% daripada RM150 juta kepada RM135 juta.

 

Katanya, kumpulan itu berjaya mendapatkan pelanggan semikonduktor baharu pada 2QFY23.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM3.45 sesaham," katanya. - DagangNews.com