Westports kekal berhati-hati terhadap prospek FY23, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Westports kekal berhati-hati terhadap prospek FY23, kata CGS-CIMB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Jan - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Westports Holdings Bhd. dengan harga sasaran pada RM3.57 memandangkan kumpulan kekal berhati-hati terhadap prospek pertumbuhan volum kontena bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23). 

 

Menurut firma itu, Westports mengekalkan panduan pertumbuhan volum antara 0 hingga 5% bagi FY23 memandangkan volumnya pada Januari adalah mendatar, mencerminkan trend pelabuhan di negara Asia yang lain. 

 

"Kami berpendapat harga saham mungkin didagangkan tidak berubah atau lebih rendah, kerana Westports kelihatan berhati-hati mengenai volum pelabuhan tahun ini dan juga menekankan tekanan kos," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dari segi kos, Westports menaikkan gaji minimumnya kepada RM1,700 mulai 1 Januari 2023, selepas menaikkannya kepada RM1,500 pada 1 Januari 2022.

 

Kumpulan mungkin mengekalkan jumlah pekerja tahun ini, tetapi kenaikan gaji dan lain-lain mungkin meningkatkan kos tenaga kerja pada FY23 sebanyak 5 hingga 6%.

 

CGS-CIMB berkata, tarif elektrik yang lebih tinggi di Semenanjung Malaysia pada separuh pertama 2023 mungkin meningkatkan lagi kos sebanyak 30% tahun ke tahun. 

 

"Harga diesel yang menyederhana pada separuh kedua 2022 dilihat mampu mengurangkan kenaikan kos ini, yang mungkin berterusan sehingga FY23," jelasnya.

 

Firma itu menyemak semula unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23 hingga FY25 sebanyak 4 hingga 5% memandangkan ia menaikkan unjuran kos bagi pekerja dan tenaga elektrik.

 

Bagi FY22, untung bersih Westports susut kepada RM699.58 juta daripada RM808.22 juta yang direkodkan bagi tempoh sama 2021.

 

Hasil bagi tahun kewangan tahun ini bagaimanapun meningkat sedikit kepada RM2.07 bilion berbanding RM2.02 bilion sebelum ini.

 

Segmen kontena menyumbang sebanyak 86% kepada jumlah pendapatan dengan jumlah jualan sebanyak 10.05 juta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki).

 

Setakat 10.35 pagi ini, harga saham Westports menokok 4 sen atau 1.06% kepada RM3.80 dengan 252,800 saham diniagakan. - DagangNews.com