Skip to main content

Damansara Holdings Bhd nama baru bagi Damansara Realty Berhad

 

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Damansara Realty Berhad (DBhd) mengumumkan pertukaran namanya kepada Damansara Holdings Berhad untuk mencerminkan lagi tiga segmen perniagaannya - Pembangunan Hartanah (PLD), Pengurusan Kemudahan Bersepadu (IFM) dan Perundingan Pengurusan Projek (PMC).

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Azman Tambi Chik berkata, ia adalah langkah penting dalam strategi pertumbuhan DBhd ke arah menyediakan perkhidmatan yang lebih menyeluruh sekali gus memberi penyelesaian terbaik buat pelanggan.

 

"Fokus kami sekarang adalah untuk menempuhi cabaran perniagaan terutamanya ketika seluruh dunia sedang berhadapan dengan wabak pandemik COVID-19,” kata beliau dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

azman tambi chik
Azman Tambi Chik

 

"IFM telah terbukti menjadi segmen perniagaan yang mempunyai daya tahan perniagaan yang kuat dan kami yakin ia mampu menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan DBhd untuk tahun-tahun mendatang,” tambahnya.

 

Kumpulan DBhd telah memasuki fasa baharu dalam segmen IFM apabila syarikat memperluaskannya kepada sektor lain seperti keselamatan, pengurusan hospitaliti, pengurusan sampah dan pengurusan F&B.

 

Pun begitu, segmen PLD masih menjadi pemacu utama kepada Kumpulan meskipun permintaan pasaran terhadap perumahan dan hartanah sedang berhadapan dengan situasi tidak menentu ketika ini.

 

Bagi memastikan syarikat kekal teguh berhadapan dengan situasi yang mencabar ekoran COVID-19, syarikat akan melaksanakan Inisiatif Rasionalisasi secara aktif melalui penjagaan kewangan dan pendekatan yang berdisiplin terhadap pengurusan kos dan aliran tunai operasi. - DagangNews.com