BAHASA PENYATU KEPULAUAN MELAYU
BAHASA Melayu antara salah satu bahasa yang paling meluas digunakan di seluruh Kepulauan Melayu.
Hari ini, bahasa ini masih digunakan dan difahami di Brunei, Singapura, Malaysia, Indonesia (Bahasa Melayu adalah asal Bahasa Indonesia), selatan Thailand, selatan Filipina, dan di tempat-tempat jauh seperti Cape Town, Pulau Cocos, Pulau Christmas, dan di beberapa daerah di Sri Lanka.
Pada satu masa dahulu, Bahasa Melayu dianggap sebagai "Lingua Franca" Kepulauan Melayu, menjadi syarat wajib pada kurun ke-18 bagi semua yang ingin menyandang jawatan di rantau ini. Surat-surat ditulis dalam aksara Jawi dalam Bahasa Melayu antara kerajaan, dari timur ke barat.
Pembangunan Bahasa Melayu dari Melayu Purba, kepada Melayu Kuno dan kemudian Bahasa Melayu Klasik berkembang pesat sehingga abad ke-16. S
Sebenarnya, salah satu laporan awal tentang seorang jurubahasa Bahasa Melayu adalah Enrique de Malacca, yang kita lebih dikenali sebagai ‘Panglima Awang, pembantu kepada pengembara Portugal, Ferdinand Magellan.
Enrique dipaksa mengikut rombongan Magellan sebagai hamba setelah penaklukan Melaka pada tahun 1511. Beliau berlayar mengelilingi dunia bersama penjelajah Sepanyol itu dan Antonio Pigafetta menulis tentang peranannya dalam ekspedisi menjelajah Lautan Pasifik ke Asia.
Ginés de Mafra, seorang Sepanyol dalam ekspedisi Magellan, dengan tegas menyatakan bahawa Enrique dibawa dalam ekspedisi itu terutamanya kerana kebolehannya bertutur dalam Bahasa Melayu:
"Magellan memberitahu anak buahnya bahawa mereka kini berada di tanah yang diingininya, dan menghantar seorang lelaki bernama Herédia, yang merupakan jurukira kapal, bersama dengan seorang Asal yang mereka bawa, katanya, kerana dia dikenali dapat bertutur Bahasa Melayu, bahasa yang digunakan di Kepulauan Melayu."
Lima Aksara Utama
Terdapat lima aksara utama untuk Bahasa Melayu: Rencong, Kawi, Pallava, Jawi, dan Rumi. Huruf Rencong, Kawi, dan Pallava ditulis oleh Melayu Kuno pada lembaran kulit kayu, lembaran daun lontar, kepingan logam, dan blok-blok batu.
Melalui perdagangan, terdapat banyak interaksi dengan pedagang Hindu. Melayu Purba berkembang menjadi apa yang dikenali sebagai Bahasa Melayu Kuno dengan pengaruh dari Bahasa Sanskrit.
Bahasa ini mencapai kegemilangan antara abad ke-7 dan ke-13, semasa zaman kegemilangan empayar Srivijaya. Aksara ini diadaptasi dari Bahasa Sanskrit dalam bentuk aksara Kawi dan Pallava, yang terdapat dalam tablet batu di wilayah Champa, Indonesia, dan Laos.
Lima Batu Bersurat Melayu Kuno
Batu Bersurat Kedukan
Antara contoh Bahasa Melayu tertua adalah Batu Bersurat Kedukan Bukit di Palembang, bertarikh 605 Tahun Saka, bersamaan dengan 683 M (Masihi). Bahasa yang terdapat pada Batu Bersurat Kedukan Bukit tersebut ditulis dalam Bahasa Melayu Kuno dengan menggunakan aksara Palava, bagi titah Diraja.
Svasti cri
cakavarsatita 605 ekadaci
cuklapaksa vulan vaicakha daputa
hyang nayik di samvau mangalap
siddhayatra
di saptami cuklapaksa
vulan jyestha dapunta hyang marlapas
dari minana Tamvar (Kamvar)
mamava yang vala dua laksa
ko dua ratus cara di samvau
dangan jalan sarivu tlu ratus sapulu dua vanakna
datang di matada (nau) sukhacitta
di pancami cuklapaksa vulan asada
laghu mudita datang
marvuat vanua ... Crivijaya
jaya siddhayatra subhika ...
Selamat bahagia
pada tahun saka 605 hari kesebelas
dari bulan terang bulan waisaka daputa
baginda naik perahu mencari
rezeki
pada hari ketujuh bulan terang
bulan jyesta dapunta baginda berlepas
dari muara Kampar
membawa askar dua laksa
dua ratus orang di perahu
yang berjalan seribu tiga ratus dua belas banyaknya datang di matada dengan suka cita
pada hari kelima bulan terang bulan asada
dengan lega datang
membuat negeri Seriwijaya
yang berjaya, yang bahagia, yang makmur...
Batu Bersurat Kota Kapur Abad ke-7
Dijumpai pada tahun 1892, Batu Bersurat Kota Kapur, di Bangka Barat dikatakan berasal dari tahun 686 Masihi.
Ia merupakan amaran menakutkan oleh raja-raja Srivijaya terhadap Jawa yang enggan tunduk di bawah pemerintahannya. Di batu bersurat dan inskripsi ini, perkataan Melayu kuno begitu menonjol, dan elemen-elemen Sanskrit.
Talang Tuwo, Tahun 684 Masihi
Prasasti dari kerajaan Srivijaya dalam Bahasa Melayu Kuno hari ini ditempatkan di Muzium Nasional Indonesia.
Prasasti itu mempamerkan pengisytiharan Raja Dapunta Hiyang Seri Jayanasa untuk menghadiahkan satu taman dan persekitaran yang harmoni, menekankan kebahagiaan semua makhluk hidup.
“Semuanya ditanam di sini; nyiur, pinang, enau, rumbia dan lain-lain yang (berbentuk) pokok yang dimakan buahnya, serta aur, buluh betung dan seumpamanya. Begitu juga taman-taman lain dengan empangan dan kolam; semua yang saya lakukan - semua perbuatan baik, bertujuan untuk kebahagiaan semua makhluk hidup dan tidak bernyawa.”
Pendekatan Raja Dapunta yang mementingkan alam sekitar mencerminkan masyarakat yang menghargai keindahan alam semula jadi dan berusaha untuk kebajikan kolektif semua makhluk, sejajar dengan prinsip-prinsip abadi Matlamat Pembangunan Lestari Bangsa-bangsa Bersatu hari ini.
Batu Bersurat Terengganu, Abad ke-14
Batu Bersurat Terengganu telah disenaraikan sebagai salah satu “Memory of The World” oleh UNESCO.
Batu ini dijumpai oleh seorang saudagar emas dari Arab, Syed Hussin Ghulam al-Bukhari, pada tahun 1903 di Kampung Buluh, 3km dari Kuala Berang, Terengganu.
Dong Yen Chau, Champa circa 350 TM
Dijumpai di Vietnam pada tahun 1936, batu bersorat ini merupakan tulisan Cham Kuno yang begitu mirip dengan Bahasa Melayu Kuno berbunyi:
Siddham! Ni yang nāga punya putauv.
Ya urāng sepuy di ko, kurun ko jemā labuh nari svarggah.
Ya urāng paribhū di ko, kurun saribu thun davam di naraka, dengan tijuh kulo ko.
Sejahtera! Inilah naga suci kepunyaan Raja.
Orang yang menghormatinya, turun kepadanya permata dari syurga.
Orang yang menghinanya, akan seribu tahun diam di neraka, dengan tujuh keturunan keluarganya.
Dari kisah kerajaan lama, legenda, naga, pelayaran hebat, dan tokoh-tokoh bangsa, kita bersatu hati mencintai tanah air dan dunia serantau, Kepulauan Melayu di mana hari ini lebih 600 juta manusia berhimpun.
Bahasa Melayu menjadi kebanggaan yang menyambungkan kita pada sejarah lama yang gemilang. - DagangNews.com
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA