Hikayat Fandom iktiraf Tokoh Wayang Kulit Hj Ab Mukhti Mohd Rais | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 29 Jul 2024 07:00 AM

PENGIKTIRAFAN TOKOH TUKANG CERITA STORYTELLER GUILD 2024 HIKAYAT FANDOM MERAIKAN TOKOH WAYANG KULIT HAJI AB MUKHTI MOHD RAIS

 

 

 

KHAZANAH warisan bercerita tanah air sarat dengan kisah hikayat lama diceritakan penglipur lara, wayang kulit, makyong, mek mulung dan jikey.

 

Sayangnya, walaupun diiktiraf badan dunia UNESCO, budaya bercerita dan persembahan semakin pupus ditelan zaman.

 

Hikayat Fandom meraikan budaya tukang cerita dan penglipurlara Malaysia demi memperkasa warisan hikayat dan cerita rakyat yang membentuk masyarakat kita.

 

Pada tahun 2023, Hikayat Fandom melancarkan program Tukang Cerita Storyteller Guild disokong oleh Think City. Program ini ditubuhkan demi membolehkan tukang cerita merancakkan daya imaginasi generasi muda dan membangkitkan penghargaan terhadap seni budaya.

 

Hikayat Fandom dibangunkan demi memperkaya khazanah hikayat dan cerita rakyat. Dalam setiap hikayat dan cerita rakyat tersemat budaya yang kaya ilmu, dan keindahan sastera dari zaman silam. Lebih penting lagi, warisan budaya menjadikan kita peneraju masa depan yang berakar kuat dalam identiti dan kebijaksanaan warisan nenek moyang kita. 

 

 

hikayat

 

hikayat

 

 

Storyteller Guild bertujuan membawa masyarakat lebih dekat pada warisan bercerita yang mendukung segala kearifan lokal dan nilai nilai murni kita.

 

Ahli Jawatankuasa Pemilihan Tukang Cerita Storyteller Guild terdiri dari Hikayat Fandom bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Malaysian Publishers Association (MABOPA), Malaysia Board of Books for Young (MBBY) dan disokong oleh Think City.

 

Presiden MBBY, Datuk Ahmad Redza Ahmad Khairuddin berkata, “Budaya kita sebenarnya begitu memandang ke hadapan. Kita lihat hari ini bahawa kisah-kisah dari tradisi persembahan seperti wayang kulit masih bertepatan dengan kehidupan masyarakat hari ini. Pengajaran dari budaya tradisi relevan hingga hari ini.”

 

Bagi menghidupkan kembali budaya pencerita di tengah-tengah kota Kuala Lumpur di GMBB, Hikayat Fandom telah membuka Pusat Aktiviti Hikayat Fandom Folklore World dan menjalankan aktiviti Bercerita dan Bengkel Seni setiap bulan di Galeri Buku Hikayat Fandom di GMBB Kuala Lumpur.

 

Pada awal tahun ini juga, Hikayat Fandom telah menjemput orang ramai, organisasi dan juga agensi kerajaan untuk mencalonkan tokoh Tukang cerita untuk diiktiraf sebagai enam Tukang Cerita Storyteller Guild setiap tahun. 

 

Kriterianya pencalonan adalah:

1.Tukang Cerita yang dicalonkan mestilah rakyat Malaysia 
2. ⁠Lebih 20 tahun berkecimpung dalam arena tukang cerita 
3. ⁠Masih menjalankan aktiviti Tukang Cerita hingga kini.

 

Majlis Pengiktirafan Tukang Cerita Storyteller Guild pertama dilangsungkan di Pesta Buku Kanak Kanak Selangor Shah Alam melalui kerjasama MBBY dan PPAS.

 

 

hikayat
Haji AB Mukhti bin Mohd Rais menerima anugerah `Tukang Cerita Storyteller Guild' pertama anjuran Hikayat Fandom dengan sokongan Think City, PPAS, MBBY dan JKKN

 

 

Penerima 2024 adalah dari pencalonan JKKN Selangor iaitu Tokoh Wayang Kulit Haji AB Mukhti bin Mohd Rais, yang giat menjalankan aktiviti Wayang Kulit Jawa sejak berumur 15 tahun. Tuan Haji merupakan satu-satunya Tok Dalang di Kampung Sg Nibong, Sekinchan, Sabak Bernam, Selangor yang mempersembahkan Wayang Kulit Jawa sejak tahun 1948 lagi. Daya ingatannya masih kuat dan gigih mengajar perantis baru dalam gamelan dan Tok Dalang muda. 

 

Beliau yang berusia 80 tahun, merupakan satu-satunya dalang di Selangor dan Malaysia khususnya masih mengingati dan menghafal 400 cerita-cerita berbentuk lisan.

 

Berasal dari Nibong daerah Kuala Selangor, Tok Dalang Haji Mukhti mendapat sokongan isterinya Puan Murbi binti Jurimin dan tiga orang anak perempuan, terus menggiatkan dan memartabat serta memperjuangkan permainan wayang kulit lebih 65 tahun.

 

Di majlis anugerah Tukang Cerita Storyteller Guild ini yang dibawa oleh Hafiz Latiff, Tuan Haji Ab Mukhti bermain wayang kulit membawa Petruk Kembar. 

 

 

hikayat

 

hikayat

 

 

Dua pesan Tuan Haji Mokhti pada generasi muda. Pertama, teruskan membaca untuk menambah ilmu. Dan Tuan Haji juga berpesan, Hendak seribu daya. Tak hendak seribu dalih. Ini penting untuk melangkah kehadapan. 

 

Tidak kurang pentingnya adalah dokumentasi budaya dan perantisan. Kami turut berbangga Kumpulan Persatuan Seni Warisan Asam Jawa mementingkan perantisan wayang kulit dan gamelan, dan pihak JKKN berperanan mendokumentasi persembahan Wayang Kulit dimajlis tersebut. 

 

Majlis dihadiri Tuan Haji AB Mukhti Mohd Rais, Tok Dalang Tokoh Wayang Kulit Persatuan Seni Warisan Asam Jawa, Presiden MBBY, Datuk Ahmad Redza Ahmad Khairuddin, Presiden MABOPA, Tn Sheikh Faisal Sheikh Mansor, Timbalan Pengarah Penyelidikan, Puan Rohaniza Abdullah, ⁠Wakil JKKN Selangor, En Hasmadi Hassan, Wakil dari PPAS, dan Kumpulan Perantisan Seni Wayang Kulit Jawa.

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb