MENGENALI KEPULAUAN MELAYU melalui Ensiklopedia Berilustrasi Tamadun Lama | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 02 Sep 2024 07:00 AM

MENGENALI KEPULAUAN MELAYU melalui Ensiklopedia Berilustrasi Tamadun Lama

 

 

 

DALAM peredaran Bimasakti di tujuh petala langit, gema legenda masih terdengar dalam bisikan-bisikan angin yang lalu, burung yang terbang, diwarisi abad ke abad.

 

Setiap kisah lama disulami dengan keberanian, kebijaksanaan, dan intipati serta semangat suatu bangsa. Sebagai ajaran, ia juga disulami dengan kisah pengkhianatan, kezalimàn dan kebodohan sebagai peringatan abadi hingga akhir zaman. 

 

Penceritaan kita hari ini merupakan bahtera yang membawa ´kargo’ memori keberadaan kita, warisan kita, dan kompas dalam kembara kita melintasi zaman.

 

Kini Merdeka tiba dengan persoalan yang bermain di kepala. Apakah kita bebas berfikir? Bebas mencipta? Bebas berkarya? 

 

Saat kita berdiri di persimpangan sejarah, meratap warisan dan  budaya kita di Kepulauan Melayu, kita diselimuti budaya masa lalu yang serumpun. Meskipun hari ini semua negara di Asia Tenggara bersempadan. Berlainan. Bersekutu.

 

Jiwa dan pemikiran kita disatukan oleh ikatan yang pernah menghubungkan kerajaan-kerajaan silam. Setiap kerajaan adalah permata di setiap gugusan kepulauan, mercu tanda menyinar lautan bagai bintang kejora yang menjadi penunjuk di samudera.

 

Champa, yang melalui pelbagai pergolakkan, sentiasa diasak dan dipinggirkan selama seribu tahun, menjadi bukti nyata semangat yang tak pernah luntur hingga ke akhir zaman. Hari ini, diaspora bangsa Cham tersebar di Kamboja, Laos, Aceh, dan Kelantan.

 

Namun, Champa dan sejarah raja-raja berani serta ratu pengasasnya Lady Po Nagar, masih hidup dalam korpus memori. Menara merah didirikan Raja Cham masih berdiri. Kisah dalam Sejarah Melayu masih menjadi saksi. Legenda tersirat dalam syair lama masih dicari.

 

 

Gunung Jerai, Kedah
Gunung Jerai di Kedah.

 

 

Pengembara sejak abad ke-5 SM pula mencari Gunung Jerai yang mudah dikenali saat memasuki Selat Melaka. Di Kedah, yang juga dikenal sebagai Qadaram, Kataha atau Qalai, tinggal para pandai besi paling terampil di dunia, mencipta pedang, pisau belati, dan alatan logam tersohor dunia.

 

Dua juta tuyere, tiub tanah liat penting untuk memungkinkan aliran udara di relou pembakar besi, ditemukan di Sg Batu, melebihi jumlah yang ditemukan di seluruh dunia. Tapak candi yang telah dilupakan pembinanya  menjadi warisan Lembah Bujang dalam sejarah dunia.

 

Legenda Langkasuka terus mempesona dari halaman Hikayat Merong Mahawangsa dan catatan kuno Cina, kekal sebagai negarakota  yang damai. Kewujudan sejak abad ke-2 lagi, legenda Adruga Wijamalai diutarakan dalam Çatalan Ibn Batutta di kurun ketigabelas. Putri berani ini memimpin pasukan elitnya Seri Wijayamala untuk mengalahkan musuh negaranya.

 

Di sebelah utara Semenanjung Tanah Melayu satu masa dahulu, Chih Tu tersergam sebagai misteri yang mengundang penjajah Funan yang ingin meneroka Bumi Merah. Dengan segala kekayaannya yang tersembunyi, dan rahsia alam semesta. Dari wilayah awal ini, kerajaan demi kerajaan silih berganti sehingga Che Siti Wan Kembang menjadi pemerintah di Tanah Serendah Sekebun Bunga dikenali sebagai Kelantan hari ini.

 

Kita terus ke Tanah Jawa, untuk mengenali Sailendra di kurun ke 9. Empayar kerajaan yang hilang terbongkar dengan penemuan Borobodur. Raja penuh kedamaian Samaratungga menikahi Dewi Tara dari Palembang dan bersama-sama mereka mencaturkan takdir penuh konflik di antara kedua putera puteri mereka.

 

Akhirnya, putera Balaputra kembali ke tanah air ibunya untuk memerintah Srivijaya, meninggalkan puteri Pramodhawardhani untuk memerintah bersama suaminya yang dipilih, Rakai Pikatan, dari Kerajaan Sanjaya.

 

Dan Balaputra setelah pulang ke Pulau Sumatera membawa Srivijaya bangkit melampaui kegemilangan masa lampau. Srivijaya, permata Kepulauan Melayu, bersinar cerah dalam sejarah selama lebih 400 tahun dari abad ke-7 hingga ke-11, menjadi mercu tanda budaya dan peradaban yang disegani oleh semua yang memahami keagungannya.

 

 

hikayat

 

 

Srivijaya memberikan kita Batu Bersurat Talang Tuwo, dań Prasasti Kedukan serta Batu Bersurat Kota Kapur untuk memahami dunia silam ini.

 

Majapahit, empayar terulung antara semua, didirikan oleh putera bijak menunggu saat dan ketika untuk bertindak.  Raden Wijaya begitu tajam pemikirannya, memahami perjalanan masa di tanah airnya, begitu arif tentang alam dan lautan, membentuk sejarah awal Majapahit.

 

Puterinya, Ratu Tribuana Tunggadewi, pemerintah Majapahit ke-3, meletakkan batu asas untuk pemerintahan gemilang putranya, Hayam Wuruk. Bak meteor bersinar sekeli mata di malam hari, menjelajah cakerawala, Majapahit menghilang selepas 200 tahun tetapi masih mempengaruhi nasionalisma Indonesia. Dari Sumpah Palapa Gadjah Mada hingga Pancasila hingga ke hari ini.

 

Melaka, permata selatnya, tempat pertemuan budaya dan adat resam, di mana Timur bertemu Barat. Ia adalah zaman raja, Sultan-sultan yang bergantung pada kebijaksanaan dan kearifan Bendahara yang sangat berkuasa dan tetap setia. Ia juga adalah zaman pahlawan ulung dan penjelajah hebat.

 

 

parafrasa

 

 

Hang Tuah dan rakan-rakannya yang setia pada Raja dan Negara. Tun Fatimah. Tun Teja. Hang Nadim. Melaka menghadiahkan bahasa Melayu Klasik melalui manuskrip Melayu yang begitu indah bahasanya. Sejarah Melayu. Hukum Kanun Melaka. Pantun dan peribahasa.

 

Dari Melaka, anak cucu cicit sultan terdahulu hingga Sultan Mahmud merajai Perak dan Johor, dengan cerita-cerita kepahlawanan sebagai benteng kebenaran dalam dunia yang semakin berubah.

 

Perak, pusat Tanah Melayu, penjaga Taming Sari, berdetik dengan irama kehidupan dan degupan zaman prasejarah,  dari Gangga Negara, Beruas dan Tanjung. Akhirnya Tun Saban bermastautin di Perak yang perlukan Raja. Lalu Tun Saban ke Kampar untuk memohon Raja dari keturunannya Sultan Mahmud.

 

Begitulah kasah Tengku Muzafar ditabalkan Sultan Perak. Putera Tun Fatimah pula dirajakan di Johor sebagai Sultan Alauddin Riayat Shah II (Raja Johor kedua 1528-1564) Baginda mendirikan sebuah kota yang dibina daripada susunan batu dan kemudian ditambak dengan terbinanya kota ini Kota Johor Lama. 

 

Bersama-sama, kita berdiri sebagai penjaga sejarah dań warisan berzaman,  memelihara kisah-kisah masa lalu bagi generasi yang akan datang. Kerana dalam kisah-kisah kita terdapat hakikat kemanusiaan yang sama-sama kita miliki. 
Benih yang baik Dicampak ke darat menjadi gunungDicampak ke laut menjadi pulau.

 

 

hikayat

 

 

Pameran Mini Hikayat Fandom Movie Posters & Walinong Sari (ORE STRUCK MEDIA)  diilhamkan Hikayat Lama dan penulisan Ninot Aziz sedang berlangsung di GMBB, Lot 5-22/5-23/5-23A sehingga HARI MALAYSIA 16 September 2024. Masuk percuma. 

 

Ensiklopedia Berilustrasi bakal di pasaran hujung tahun ini. Sila ke Hikayat Fandom FB untuk pra-tempah terhad dengan hadiah istimewa - The Malay Archipelago - An Illustrated Encyclopedia of the Ancient Kingdoms / Kepulauan Melayu - Ensiklopedia Berilustrasi Tamadun Lama. - DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb