Mutiara Kata Peninggalan Tamadun Bhg 2 | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 27 March 2023

Mutiara Kata Peninggalan Tamadun Bhg 2

 

 

 

SASTERAWAN Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Hj Salleh berkata, “Pepatah, perumpamaan, bidal dan banyak  lagi naratif prosa atau puisi – semuanya ialah renungan  manusia yang  peka terhadap  bumi yang dipijak dan juga alur sungai  yang diranduk. Oleh yang demikian inilah kumpulan pemikiran dan renungan yang paling bijaksana, dan dicipta selama beberapa kurun.”

 

Baru-baru ini saya bertemu dengan Prof Muhammad dan bertanyakan pendapat beliau, “Adakah mungkin dua entiti besar Dunia Islam pada garis masa yang sama tidak berhubungan antara satu sama lain? Contohnya Kesultanan Melaka dan Empayar Uthmaniyah? Pada abad ke 15?


 

Prof Emeritus Dr Muhammad Hj Salleh
                Prof Emeritus Dr Muhammad Hj Salleh

 


Perbincangan ini membawa kepada perbandingan kedua-dua sistem kerajaan dan sejarahnya.  Memang benar Kesultanan Melaka lebih muda, lebih pendek, namun kedua-duanya pusat perdagangan maritim di tepi laut, dan pusat kesultanan berpaksikan Islam. Keduanya juga pusat budaya yang amat mementingkan bahasa.

 

Namun telah penjajahan berlaku dan sejarah diolah mengikut persepsi, semua fakta hilang dan kita tercari cari jawapan sebenar.

 

Kita lihat bagaimana Tamadun Yunani dan Rom serta Mesir dibangkitkan semula oleh Shakespeare dan kata-kata Julius Caeser, Cleopatra dan Mark Anthony dari Yunani dan Mesir seolah-olah hidup semula. Manusia seluruh dunia mengambil iktibar dari kata-kata hebat ini dan mencari kebenaran dalamnya.

 

Itulah sebab kita mesti terus mencari kata-kata hikmah dari pemimpin dan wira terdahulu untuk mengenal kehebatan bangsa dan budaya. Kerana itulah  saya terpanggil mengesan bunga bunga fikiran bangsa. Keindahan kata semangat Melayu.

 

ILHAM DAN PETUNJUK

Ayahanda saya pernah menulis, “Sejarah tamadun manusia itu adalah satu sejarah dari rangkaian peristiwa yang pada umumnya dipengaruhi oleh pidato-pidato yang berkesan.” apabila beliau mengumpul ucapan terbaik Tun Dr Ismail Abdul Rahman satu ketika dulu.

 

Saya berasa bersyukur  dibesarkan dalam keluarga yang mengutamakan kecintaan terhadap bahasa, cerita hikayat dan adat dalam kehidupan.

 

Hikayat dan cerita rakyat menjadi bacaan kegemaran saya di kampung tercinta, Kampung Chenor, Pahang. Seperti monumen atau seni bina, kata-kata semangat juga merupakan tonggak atau penanda tamadun dan mesti dipelihara dan direkodkan sebagai rujukan.


 

chenor

 


Perlu ada usaha bersepadu untuk mengekalkannya untuk generasi akan datang.

 

DARI HIKAYAT KITA: BERDIRINYA BANGSA KERANA BAHASA, INDAHNYA SENI KERANA BUDAYA

 

Bait-bait bahasa indah inilah ilham memanggil saya untuk menyediakan buku kecil 101 kata-kata semangat supaya dapat dijadikan rujukan pelajar, pemidato, pendebat, guru-guru dan mereka yang ingin .mencari inspirasi dari Alam Melayu.

 

Sudah tentu 101 ungkapan bernas tidak dapat mengandungi kesemua ahli pemikir dunia Melayu. Ini adalah sekadar permulaan dan pengenalan kepada mutiara kata Alam Melayu yang lebih luas.

 

Ada empat bab kesemuanya, iaitu, Jati Diri, Masyarakat, Kenegaraan dan Warisan Bangsa. Setiap satu memberi contoh kat hikmah yang boleh digunakan sebagai renungan atau panduan.

 

Mari kita lihat sedikit mutiara kata dalam buku ‘kecil’ di bawah bab Jati Diri – Akal Budi.

 

1. "Tak ada yang lebih kuat dari kelembutan, tak ada yang lebih lembut dari kekuatan yang tenang".

Jenderal Besar Raden Soedirman
Pahlawan Nasional Indonesia

 

Raden Soedirman
Raden Soedirman, Jeneral pertama Tentera Indonesia

 


2. "Apabila terpelihara mata,
sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tiadalah damping.
Apabila terpelihara lidah,
niscaya dapat daripadanya paedah".

Raja Ali Haji
Ulama, ahli sejarah, serta pujangga Bugis-Melayu
 

3. "Pengalaman adalah guru yang mencabar kerana dia memberikan ujiannya dahulu, dan kemudian barulah manfaat pengajaran".

Tan Sri Dr Abdul Majid Ismail aka Coco Majid
Felo Eisenhower Malaysia

 

4. "Ini gurindam pasal yang kelima:

Jika hendak mengenai orang berbangsa,
lihat kepada budi dan bahasa,

Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,
sangat memeliharakan yang sia-sia.

Jika hendak mengenal orang mulia,
lihatlah kepada kelakuan dia.

Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
bertanya dan belajar tiadalah jemu.

Jika hendak mengenal orang yang berakal,
di dalam dunia mengambil bekal.

Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.

Raja Ali Haji
Ulama, ahli sejarah, serta pujangga Bugis-Melayu

 

5. Kalau ada keyakinan diri semua boleh tercapai

PENDETA ZA’ABA
Tokoh Sastera dan Ilmuwan Malaysia


 

PENDETA ZA’ABA

 


6. Orang Melayu pada zaman dahulu sangat kreatif dan sudah boleh berfikir dengan cara yang saintifik...Mereka boleh menghasilkan ubat mujarab yang kemudiannya dijadikan antara barangan dagangan utama.

Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz
Pakar Ekonomi dan Tokoh Pendidikan Malaysia

 

7. Yang melemahkan semangat ada dua perkara. Pertama prasangka, kedua, hati busuk.

HAMKA
Ulama, Ahli Falsafah, Penulis, Ahli Politik Indonesia

 

8. Wahai muda kenali dirimu,
ialah perahu tamsil tubuhmu,
tiadalah berapa lama hidupmu,
ke akhirat jua kekal diammu.

Hamzah Fansuri
Sasterawan Abad ke 16 Dunia Melayu (Sumatera)

 

Bab kedua menyentuh tentang masyarakat dan membawa maksud hormat menghormati antara ibu bapa dan anak, berkasihan dan segala aspek social seperti berikut.

 

Dengan bapa jangan durhaka, 
supaya Allah tidak murka. 
Dengan ibu hendaklah hormat, 
supaya badan dapat selamat. 
Dengan anak janganlah lalai, 
supaya boleh naik ke tengah balai. 

Raja Ali Haji
Ulama, Ahli Sejarah, serta Pujangga Abad ke 19 Bugis-Melayu

 

Amalkan oleh mu arif dan sopan
Ibu bapamu jangan engkau lawan
Perkataannya diikutkan Tuhan
Ibumu itu sangat susahan

Lagu Dodoi Patani Melayu

 

Bukankah kecurigaan telah terbunuh ketika kita bersapa?

Usman Awang
Sasterawan Negara dan Pujangga Malaysia


 

usman

 


Barangkali takkan bisa ku miliki hatimu
Barangkali mungkin dalam mimpi saja
Namun segala yang lahir dari puisi
Adalah cinta…

BAHA ZAIN
Sasterawan Negara dan Tokoh Penyair Malaysia

 

Semoga buku kecil Mutiara Kata Alam Melayu ini menjadi manfaat untuk semua.

 
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

Portfolio Tags