PAMERAN POSTER FILEM DIILHAMKAN KAJIAN ENSIKLOPEDIA BERILUSTRASI TAMADUN ALAM MELAYU
Sambutan Bulan Merdeka hingga Hari Malaysia 22.8.24 sehingga 16.9.24
Pada hujung tahun ini Hikayat Fandom bakal menerbitkan sebuah Ensiklopedia Berilustrasi Tamadun Alam Melayu KEPULAUAN MELAYU dan dalam Bahasa Inggeris, THE MALAY ARCHIPELAGO.
Melalui kajian untuk Ensiklopedia tersebut, sebuah Pameran Mini Poster Filem mencerminkan kisah Legenda Melayu akan diadakan bersempena bulan Kemerdekaan hingga Hari Malaysia oleh Hikayat Fandom di KL Literature and Art Fair di GMBB KL, Jalan Robertsson.
Kisah legenda boleh menjadi ilham kepada filem epik di masa hadapan contohnya kisah Bendahara Paduka Raja Tun Seri Lanang, Paduka Raja Negeri Serendah Sekebun Bunga, Cik Siti Wan Kembang, Ratu Adruga Wijamalai Srikandi Grahi, Bendahara Tun Perak dan ramai lagi.
Sesungguhnya Kepulauan Melayu ini merupakan pertembungan pelbagai budaya dan lipur lara dunia dan antara rantau paling unik di dunia di mana rantaian kerajaan dibina menghubungkan ribuan pulau. Ratusan tahun dahulu, kerajaan Champa, Srivijaya, Majapahit, Melaka, Patani, Langkasuka mencetuskan ratusan legenda.
Bagaimana Ensiklopedia ini menyingkap keberadaan Tamadun Alam Melayu ini? Kita ada pelbagai sumber kajian terkini termasuk Manuskrip Melayu yang merupakan antara bentuk kesusasteraan yang paling tersohor dan tertua melambangkan peradaban dan gaya hidup zaman dahulukala Kepulauan Melayu. Kisah lisan, dan manuskrip dipelihara dengan mengabadikan cerita dari sumber terawal yang sedia ada di atas buluh, daun lontar palma, dan pada kulit pokok dan kemudiannya di atas kertas dari negeri China dengan dakwat buatan lokal menggunakan jelaga, sabut padi, sarang labah-labah dan dakwat sotong.
Setelah bertahun-tahun kita meneliti, menceritakan semula dan menulis semula kisah kita dalam usaha untuk membawanya kepada generasi baru, penyelidikan menunjukkan bahawa penemuan arkeologi dan penceritaan hikayat saling menggambarkan kehidupan zaman ratusan tahun dahulu, di Kepulauan Melayu.
Kisah kebangkitan Ratu-Ratu Nusantara dan srikandi tersohor Nusantara contohnya, begitu menggamit jiwa dan semangat kita. Contoh di sini kita lihat kisah Arduga Wijamalai.
Pada zaman dahulu, ada seorang Raja memerintah di Grahi dan kemudiannya Langkasuka, Raja Sang Tawal nama gelarannya. Raja Sang Tawal bertekad untuk menghentikan penjajahan Raja Rama Khamhaeng daripada bergerak lebih jauh ke selatan.
Arduga Wijamalai, adalah puteri bongsu Raja Sang Tawal. Ia dilatih dalam seni peperangan sejak kecil. Kalau memanah, tidak ada yang lebih cekap daripada puteri itu. Pada umurnya 10 tahun, Raja Sang Tawal menghadiahkan kuda perang dari tanah Arab diberi nama Halilintar. Ia dilatih seorang berbangsa Uthmaniyah bernama Inologlu. Senjata pemakaian Arduga semuanya boleh membawa padah kepada lawan dan seteru puteri diberi nama Adruga Wijamalai Singa.
Sementara itu, selepas bertahun-tahun menyerang dan menakluk jiran utara Kembayat Nagara, Inderagiri dan Ligor, Raja Rama Khamhaeng mula mengorak langkah untuk menakluk kerajaan-kerajaan di selatan.
Raja Sang Tawal bersedia. Paduka baginda meninggalkan Arduga dan srikandi Seri Wijayamala mengawal kota dan kubu kerana yakin dengan maklumat intipan sulitnya.
Namun Arduga merasakan bahawa mereka melihat pertempuran tidak lama lagi.
Tidak berapa lama, mereka melihat pergerakan pokok-pokok secara sekata. Sedarlah Arduga, tentera Raja Ram Khamhaeng telah tiba. Tidak mengapa. Dia tidak gentar.
Raja Ram Khamhaeng tiba untuk memberi taklimat kepada panglima tenteranya atas kemenangan yang sudah pasti. Oleh itu, terkejut Raja Ram Khamhaeng mendengar suara srikandi memberi laungan pertempuran sebaik sahaja Raja Sukhotai itu muncul, bagai kilat di atas Halilintar, kelewang terhunus, menuju dengan begitu pantas menyerangnya.
Arduga menjangka dia terpaksa membuat serangan mengejut sebelum lawan dapat memikirkan apa yang telah berlaku. Seri Wijayamala tidak akan dapat bertahan serangan yang berpanjangan menghadap tentera sebegitu ramai.
Percaturan Arduga berjalan lancar. Pasukan pemanah menyebabkan pasukan gajah dan kuda kacau-bilau. Raja telah dikesan dan Arduga terus mara bagai Seri Dewi Perang dari kayangan. Sekali libas, Raja Ram Khamhaeng terpisah roh dari jasad. Arduga dan pasukan Seri Wijayamala bergegas pulang ke kubu. Rentaka menghamburkan ledakan meriam.
Apabila Raja Sang Tawal mendapat berita, ia pun kembali ke pangkuan anakanda dan menghadiahkan negeri untuk diperintah oleh Arduga Wijamalai.
Begitulah alkisah Wijayamalai memadamkan cita-cita Raja Sukhotai yang kejam memerintah seluruh Semenanjung Tanah Melayu.
Laksamana Wanita pertama di dunia pula adalah Laksamana Keumalahayati dari Aceh yang mengalahkan Belanda. Beliau begitu berwibawa mengetuai armada laut setelah suaminya terkorban dalam perang sengit. Laksamana Keumalahayati telah membunuh Kapten Belanda Cournelius de Hautman yang kejam. Kewibawaannya turut dikagumi oleh Ratu England dan kini Laksamana Keumalahayati tersohor sebagai srikandi Indonesia diiktiraf UNESCO.
Kita mempunyai begitu banyak legenda sebegini. Laksamana Hang Tuah yang legendanya muncul di dinding VijayaNagara, catatan Ryukyu dan Hikayat Hang Tuah. Hikayat Hang Tuah menceritakan kisah Hang Tuah to Majapahit, Bentan, Lingga, Palembang, Acheh, Brunei, Sri Lanka, Benua Keling, Benua China, Jeddah and Stamboul.
Enrique the Black, manusia pertama mengelilingi dunia apabila dia menemani Ferdinand Magellan juga mendapat tempat di hati ramai pengkaji Sejarah seperti Joyce Chapman di Harvard dan Prof G L Koster di Portugal.
Dalam lagenda, secebis sejarah kita tersimpan bagai kapsul masa yang akan dibuka seperti kotak keseronokan oleh kita berabad-abad kemudian.
Jadi, apabila kita menghayati legenda kita hari ini ditambah dengan ilmu sejarah yang lain, kita mula menghimpunkan kewujudan Kerajaan-Kerajaan Maritim Melayu di seluruh Kepulauan Melayu.
Apa yang paling menarik, kita akan dapati bahawa lagenda dan epik terkenal dunia telah masuk ke dalam hikayat kita yang menunjukkan pertukaran budaya hasil daripada titik hubungan yang dibuat melalui perdagangan dan agama. Ini adalah petunjuk bagaimana Orang Melayu mengembara ke seluruh dunia... Dan yang lebih penting, hikayat kita turut mengembara. Dan legasi kesusasteraan hari ini menjadi bukti kukuh.
Orang Melayu itu pengembara dunia yang melayari kapal-kapal yang mengagumkan - JONG gergasi untuk perdagangan, prahu terbang pantas dan Gobel Pinis. Sejak abad pertama Masihi, pengaruh Vedic-Anisme terserlah di Kepulauan Melayu.
Apabila Islam muncul di sini berabad-abad kemudian, sedikit demi sedikit, berlaku peralihan budaya dan kepercayaan yang membawa kepada pertindihan pengaruh.
Ini membuktikan bahawa Kepulauan Melayu merupakan transit dan titik pertemuan ramai bijak pandai, pengembara dunia hebat dan pejuang perkasa di Dunia Melayu, yang mempunyai ratusan legenda yang boleh mengilhamkan pelbagai kisah untuk filem, teater, tv, drama dan sastera. - DagangNews.com
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA