Pengembara ke Kepulauan Melayu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 09 Sep 2024 07:00 AM

Pengembara ke Kepulauan Melayu
 

 

 

DARI sejak ratusan tahun dahulu, terdapat pengembara serata dunia yang telah menjelajah ke Kepulauan Melayu.

 

Di antara yang terawal telah sampai ke sini adalah sami dari Benua China, I Tsing atau I Ching pada abad ke 7, dan Abu Dulaf di tahun 940M.

 

Peninggalan sejarah dan catatan mereka yang terdahulu memberi gambaran keujudan kerajaan zaman dahulu di Nusantara.

 

Antara pengembara yang tersohor adalah Ibnu Batutta dan Marco Polo (Kurun ke 14), Laksamana Zheng He (Kurun ke 15), dan Tome Pires (Kurun ke 16).

 

Mari kita kenali dunia yang menjadi ilham catatan pengembara tersohor zaman dahulu. 
 

 

I Tsing, 671 & 687 AD Palembang dan Kedah Kurun ke-7

Pada tahun 671 TM, dikatakan I-Tsing melawat bandar tertua dari Kerajaan Srivijaya, Palembang. Meninggalkan Guangzhou, I Tsing ke Palembang untuk mempelajari Bahasa Sanskrit dan Bahasa Melayu serta mendalami ugama Buddha.  

 

Catatan perjalanannya pada abad ke-7 merupakan sumber penting sejarah mencerminkan pentingnya laluan laut antara China dan India. Dalam pelayarannya untuk memperdalami ajaran Buddha di Nalanda, India, I-Tsing singgah di Palembang, Srivijaya pada tahun 671 TM, dan tinggal di sini selama 6 bulan. 

 

 

hikayat

 

 

Dari Palembang, beliau melawat pula negeri Mo-Lo-Yu yang menurutnya terletak 15 hari pelayaran dari Boghadishu. Dari catatan I-Tsing, nama negeri Mo-Lo-Yu baru bertukar menjadi Sriboghan ketika beliau melawatnya. Dalam perjalanan pulang dari India, beliau singgah kembali di Srivijaya. 

 

Keterangan I-Tsing dilihat konsisten dengan beberapa catatan batu bersurat yang menunjukkan empayar Sriwijaya dibentuk pada kurun ke-7.

 

Abu Dulaf 940 Masehi, Kedah Kurun ke-11

Dalam tahun 940, Abu Dulaf al-Muhalhil berasal dari Bukhara singgah di Kalaha (Kedah) dan meriwayatkan bahawa:
 
"Apabila saya sampai di Kalah, saya dapati tempatnya amat indah dengan tembok-tembok kota, taman-taman bunga dan aliran mata-mata air dari bumi. Saya lihat lombong bijih timah yang tidak ada tolok bandingnya dalam dunia ini. Di dalam kota ada tukang-tukang membuat pedang "qala'I" iaitu pedang Hindi yang tulen…seperti di Negara China, terdapat orang-orang yang tidak menyembelih ternakan yang mereka makan. Penduduknya mempunyai sistem keadilan dan mempunyai penjara serta hukuman denda".

 

Abu Dulaf menceritakan bahawa rakyat di Kedah makan gandum, buah kurma, sayur-sayuran yang ditimbang bila dijual dan roti yang dilonggok-longgok sahaja bila dijual. Mereka tidak mempunyai hamam (tempat rehat dan mandi) tetapi mandi di sungai-sungai yang mengalir deras. Wang yang digunakan di Kedah adalah dirham perak yang dipanggil 'fahri'. 

 

 

Abu Dulaf al-Muhalhil

 

 

Rakyat di sini memakai kain 'al firand' (sutera) yang sangat mahal seperti orang-orang China. Pedang "qala'i" yang tersohor ditempah di Kedah menjadi barangan eksport yang dikenali oleh orang-orang Arab sebagai "al-sayf al-Hind membayangkan keberadaan tukang pandai besi di Qalaha. 

 

Abu Dulaf memungkinkan bahawa agama Islam belum lagi dianuti oleh Raja Kedah sungguhpun rakyatnya telah Islam

 

Ibnu Batutta Kurun ke-14

Tiada pengembara Islam lebih tersohor dari Ibnu Batutah. Berasal dari Maghribi, hidupnya dihabiskan dalam pengembaraan menjelajah ke timur serata dunia melalui 44 kerajaan dan bandar utama mengikuti karaven unta di padang pasir, belayar di samudera, dan juga berkelana berjalan kaki untuk ke destinasi yang dituju.

 

Pengembaraan Abu Abdullah Muhammad bin Battutah atau yang dikenal dengan nama Ibnu Batutta mengambil masa 30 tahun. Beliau lahir di Tangier, Maghribi sekitar tahun 1304. 

 

Pada usianya yang ke-21 tahun, Ibnu Batutah menunaikan Haj, dan terus mengarungi samudera dan kembara demi mengembangkan ilmu.

 

Penjelajahan bermula pada 14 Jun 1325 membawanya ke Samudra Pasai (kini dikenali sebagai Aceh) bertemu Sultan Sultan Malikussaleh pada tahun 1345. Laut Pasai dikatakan begitu indah dalam catatan perjalanannya berkata, “Ruang hijau dengan kota pelabuhan besar yang indah.”

 

 

pasai

 

 

Ibnu Battuta ada menamakan Ratu Urduga dalam catatannya. Ini sering dikaitkan dengan puteri Raja Sang Tawal iaitu Arduga Wijayamala Singa seorang ratu memerintah Langkasuka dan Kelantan, seorang srikandi peperangan di era yang sama. 

 

Marco Polo Kota Malaiur, Pentam dan Jawa Kurun ke-13

Kerajaan Samudra Pasai didirikan oleh Merah Silu bergelar Sultan Malik al- Saleh, pada tahun 1285. Pada tahun 1292 ketika Samudera Pasai dipimpin oleh Raja Sultan As-Saleh, seorang saudagar  bernama Marco Polo dari Venetia, Itali dikatakan tiba dalam perjalanannya pulang ke Eropah dari Mongol.  

 

Beliau belayar dan singgah di daerah utara Sumatera. Marco Polo melihat keberadaan kerajaan Islam Samudera Pasai dan mencatatkan bagaimana rakyat Pasai bijak menjalankan perdagangan seperti kapur barus. 

 

 

hikayat

 

 

Catatan Marco Polo, walaupun kadangkala didebatkan turut menyebut tentang perjalanannya Pulau Jawa Besar, Pulau Pentam atau Bentan, Kota Malaiur serta kaum Batak. 

 

Laksamana Zheng He (Cheng Ho) Kurun ke-15

Laksamana Cheng Ho antara tokoh paling tersohor menjelajah dunia atas sebab ilmu dan penerokaan. Beliau mengetuai armada China sebanyak tujuh kali ke 30 negara di serata alam Melayu, Asia, Timur Tengah dan Afrika. 

 

Persahabatan Laksamana Cheng Ho dan Kesultanan Melaka, kekal berzaman. Hubungan baik antara China dan Melaka terbukti menguntungkan dari 1405 hinggalah tahun 1433.  

 

Sebagai pelabuhan yang berkedudukan strategik, persahabatan yang rapat dengan Sultan Melaka menjadikan Melaka terpilih sebagai tempat persinggahan Cheng Ho.

 

 

chengo
Arca Cheng Ho di Taman Persahabatan di Kuching, Sarawak

 

 

Barangan tembikar, kain sutera, herba dan rempah ratus, kayu kayan dan segala jenis dagangan menjadikan pelabuhan Melaka unggul serata dunia dari China ke Eropah. 

 

Tome Pires, Melaka Kurun ke-16

Catatan Tome Pires tentang Kesultanan Melaka memang terkenal dalam sejarah, terutamanya berkaitan dengan kemakmuran dan kemajuan perdagangan antarabangsa. Tome Pires dalam bukunya Suma Oriental, selepas jatuhnya Melaka ke Portugis sering di katakan mengungkapkan, “...Sesiapa yang menjadi tuan di Melaka, seperti menguasai Venice di Eropah.” 

 

Pires menggambarkan Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangsa yang ramai dikunjungi oleh pelbagai pedagang dari seluruh dunia.

 

Beliau menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 61 bangsa dan suku bangsa di Melaka serta terdapat lapan puluh empat bahasa dituturkan oleh para pedagang, mengukuhkan bukti kemajuan Melaka dalam menarik pedagang asing. 

 

Kehebatan kapal Melayu dan Jawa mendapatkan perhatian Tome Pures yang mengatakan pedagang Cina sangat takut kepada pedagang Melayu dan Jawa kerana sebuah jong Melayu atau Jawa dengan senang dapat mengalahkan jong Cina. 

 

Kepelbagaian pedagangan menunjukkan betapa Melaka menjadi jambatan perdagangan yang penting antara Timur dan Barat.

 

 

Tome Pires
      Tome Pires

 

 

Selain itu, kemakmuran Melaka juga didorong oleh kedudukan geografinya yang strategik di Selat Melaka, menjadikannya lokasi yang ideal untuk aktiviti perdagangan. Pires juga mencatatkan tentang kebudayaan yang kaya dan interaksi antara pelbagai bangsa di Melaka, yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi dan sosial kerajaan tersebut. Ini menjadikan Melaka sebuah empayar yang berpengaruh dan terkemuka pada zaman itu.

 

Begitulah sebahagian dari bayangan pengembara tersohor tentang Kepulauan Melayu sejak 1,400 tahun yang lampau.

 

Sudah tentu ada ramai lagi seperti Antonio Pigafetta (Itali) Duarte Barbossa (Portugal) dan peta peta Jorge Reine. Ini penting untuk memberi gambaran dunia silam Kepulauan Melayu ini. 

 

Sudah sampai masanya kita teruskan kajian untuk lebih mengenali Kepulauan Melayu dari sudut sejarah kita sendiri dan bukannya reaksi pada catatan lain. - DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb