SENI DAN BUDAYA BOLEH MENCETUS KEDAMAIAN
MINGGU ini, pementasan ‘In Perfect Harmony Too’ oleh Dama Asia telah berlangsung di Petaling Jaya.
Sepanjang pementasan musikal itu, penonton disajikan lagu-lagu yang mendapat tempat di hati kita semua. Lagu-lagu P Ramlee, Sheila Majid di samping lagu Francis Yip dan lagu-lagu paling tersohor ASEAN seperti Anak oleh Freddie Aguilar. Lagu Melayu, Mandarin, Cantonese, Hindi dan Bahasa Inggeris, yang disenangi semua penonton.
Nostalgia timbul apabila musikal membayangkan betapa seluruh rakyat, tanpa mengira bangsa, menggilai pesta bola. Dan bagaimana kita semua akan menunggu di rumah untuk menyaksikan film P. Ramlee setiap minggu.
Buat sejenak, saya dibuai memori semasa bersekolah di Kuantan, di Assunta Convent. Berlakon di pentas kisah Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong. Dan juga teater Captain Soot and the Princess. Di pentas itu, saya menari, berlakon dan menyanyi di koir. Saya begitu meminati aktiviti budaya sejak kecil kerana ia diperkenalkan sejak di bangku sekolah.
Zaman indah.
Sesungguhnya, pendedahan ke dunia seni dan budaya di zaman itu, telah membentuk keperibadian dan kecenderungan saya hingga kini. Dalam bidang penulisan. Cinta pada budaya. Dan kasih pada negara dan perpaduan.
Membentuk Negara Berbudaya
Membentuk negara tentulah tidak semudah yang disebut-sebut semua pihak. Kita telah kehilangan beberapa tahun akibat pertelagahan politik berterusan, hala tuju yang asyik berubah dan kurang kepercayaan terhadap jatidiri bangsa dan negara.
Namun tidak mustahil jika kita bermula dari perubahan budaya yang menyeluruh - budaya pendidikan, budaya masyarakat, budaya sosio-ekonomi, Ya, termasuk budaya politik - kita boleh menuju ke arah aspirasi bersama. Inilah hakikat diharap dapat membuka minda pemerintah, pemimpin, pendidik, pelajar - semua pihak berkepentingan melihat negara bersatu aman damai.
Budaya membentuk nilai nilai murni, membentuk struktur masyarakat dan kekayaan budaya itu akan membentuk generasi masa hadapan.
Budaya dapat menggalakkan pencarian ilmu dan cinta pada keindahan.
Jika kita mengamalkan budaya bersopan santun, maka kita akan membentuk masyarakat yang saling bertoleransi dan saling memahami. Namun budaya yang jelik, akan menggelapkan nilai-nilai di antara kita.
Peradaban tinggi memastikan tatasusila.
Mengikut Glenn Doman, masa paling berkesan untuk membentuk anak-anak kita adalah sewaktu mereka masih belum bersekolah.
Jika kita masih membelakangkan kepentingan budaya dalam pembentukan identiti, jatidiri dan pemerkasaan anak bangsa, kita tidak akan melihat ‘the light at the end of the tunnel.” Perasaan benci berterusan.
Negara akan terus berbelah bagi.
FAEDAH SERAMPANG DUA MATA
Kenapakah kepentingan Seni dan Budaya saya laungkan setiap kali berkata tentang perpeduan dan jatidiri serta identiti Negara.
Sayang sekali, sejak tahun 1980an, kita begitu lama membelakangkan warisan seni dan budaya. Sebenarnya, manfaat seni dan budaya, terutamanya bidang seni dan budaya amat tinggi.
a. Statistik menunjukkan bahawa Industri Kreatif menyumbang kurang dari 2% dari KDNK negara. Di Indonesia, industri ini menyumbang 7% hingga 9% KDNK mereka. Memandangkan budaya kita budaya serumpun, kita mempunyai potensi menaikkan peratusan KDNK dari sektor seni dan budaya sebanyak 5% (RM8.5 bilion). Tambahan pula, jika industri kreatif bertambah rancak, ia akan memberi kesan kepada industri pelancongan! Bayangkan ‘multiplier effect’ yang bakal dikecapi bersama.
b. Seni dan Budaya seterusnya membuka kegiatan ekonomi yang baik untuk sebahagian besar masyarakat terutamanya B40. Mek Mulung. Makyong. Pengusaha batik. Penenun songket. Tukang ukir kayu. Pak Dalang Wayang Kulit. Penari Singa. Pementasan Opera China. Penari Bharatnatyam. Dan bermacam-macam lagi.
c. Tidak dapat dinafikan, komuniti Seni dan Budaya paling harmonis di kalangan seluruh rakyat. Naluri dan kepentingan bagi sektor ini adalah untuk menceriakan, dan membawa sedikit pengajaran atau naratif perpaduan kepada masyarakat. Mereka mementibngkan keindahan dan kesenian. Sektor kreatif, yang memulihara seni dan budaya, jalinan masyarakat, dapat memulakan gelombang keharmonian yang amat diperlukan negara.
d. Biar mati anak. Jangan mati adat. Apabila anak muda mengenali adat dan adab, tatasusila kesopanan dan membina jatidiri akan terbina. dengan mendekatkan diri dengan seni budaya.
Dengan jelas, apabila Seni dan Budaya negara dipertingkatkan, tahap toleransi, asimilasi dapat menuju ke satu kegemilangan. Negara yang kaya budaya, sudah tentu kaya dengan keunikan yang boleh dibanggakan bersama.
Melalui perkongsian seni dan budaya, kita saling mengenali budaya satu sama lain dan berkasih-kasihan sesama kita.
Itulah yang diharapkan dapat mengurangkan jurang perpaduan begitu menyedihkan. - DagangNews.com
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : ninotaziz@gmail.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA