Data KDNK kukuh, lonjak aliran masuk asing pada minggu lalu sebanyak RM451.7 juta | DagangNews Skip to main content

Data KDNK kukuh, lonjak aliran masuk asing pada minggu lalu sebanyak RM451.7 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Pelabur asing meneruskan rentak dagangan mereka dengan pembelian ekuiti tempatan yang terus meningkat 16.4% kepada RM451.7 juta buat minggu keempat berturut-turut. 

 

Pada minggu sebelumnya, ia menyaksikan aliran masuk asing berjumlah RM388.21 juta dalam pasaran tempatan. 

 

Laporan aliran dana mingguan MIDF Research mendapati pelabur asing memulakan dagangan pada minggu lalu dengan membeli ekuiti pada Isnin dan Selasa masing-masing sebanyak RM530,000 dan RM15.8 juta.

 

Katanya, di sebalik kebimbangan inflasi Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, ia hanya merekodkan aliran keluar sebanyak RM3.8 juta, dan satu-satunya hari di mana pelabur asing menjual ekuiti.

 

"Sebahagian besar pembelian direkodkan pada Kamis dan Jumaat, masing-masing sebanyak RM232.9 juta dan RM206.2 juta.

 

"Ini berikutan data yang dikeluarkan menunjukkan inflasi AS yang lebih rendah daripada jangkaan manakala Malaysia pula mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kukuh berbanding jangkaan sebelum ini," katanya dalam laporan itu hari ini. 

 

Data KDNK yang diumumkan Bank Negara Malaysia pada Jumaat lalu menunjukkan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 8.9% pada suku kedua berbanding 5% pada suku sebelumnya.

 

Walaupun KDNK meningkat sebahagiannya disebabkan oleh asas yang rendah berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh pada Jun 2021, pertumbuhan pada April dan Mei 2022 menunjukkan prestasi yang kukuh.

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, pelabur institusi tempatan pula meneruskan jualan ekuiti buat minggu kelima pada kadar RM573 juta, meningkat lebih 2 kali ganda berbanding minggu sebelumnya sebanyak RM266.9 juta. 

 

Pelabur runcit sebaliknya kembali membeli ekuiti tempatan pada minggu lalu sebanyak RM121.3 juta. 

 

Menurut firma itu, dana antarabangsa membeli ekuiti tempatan selama 21 daripada 32 minggu setakat tahun ini dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM7.11 bilion. 

 

Ia mendapati pelabur institusi tempatan menjual ekuiti selama 25 minggu dengan aliran keluar sebanyak RM8.8 bilion manakala pelabur runcit pula membeli ekuiti selama 20 minggu berjumlah RM1.7 bilion.

 

"Dari segi pergerakan pelabur, terdapat peningkatan nilai purata dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur institusi tempatan sebanyak 1.05%.

 

"Bagaimanapun, ADTV pelabur asing dan tempatan masing-masing susut 3.57% dan 3.36% pada minggu lalu," katanya.

 

Pada minggu lalu, FBM KLCI menokok 0.31% untuk berakhir pada 1,506.19 mata manakala ringgit mengukuh 0.13% untuk menutup dagangan pada Jumaat dengan RM4.4445 berbanding dolar AS. - DagangNews.com