Di sebalik prospek berhati-hati, RHB Research naikkan penarafan Affin kepada 'trading buy' | DagangNews Skip to main content

Di sebalik prospek berhati-hati, RHB Research naikkan penarafan Affin kepada 'trading buy'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Sept - RHB Research menyemak naik penarafan saham Affin Bank Bhd. kepada 'trading buy' berbanding 'neutral' dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM2.45 daripada RM2.25 sesaham sebelum ini. 

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan pendirian berhati-hati terhadap Affin, memandangkan jurang pendapatan Affin Hwang Asset Management (AHAM) serta kebimbangan kualiti aset akan terus mengeruhkan lagi prospek jangka sederhananya. 

 

Katanya, Affin akan meraih keuntungan kira-kira RM1 bilion daripada pelupusan AHAM pada suku ketiga dengan sebahagian daripada hasil akan digunakan untuk meningkatkan peruntukan am dan  menyokong pertumbuhan pinjaman sehingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24).

 

"Namun, pengumuman dividen khas yang berpotensi berikutan penjualan AHAM boleh bertindak sebagai pemangkin penarafan semula jangka pendek yang kukuh, seperti mana kami menaikkan penarafan (kepada 'trading buy') sebagai hasilnya.

 

"Pengiraan kami menunjukkan bank mempunyai kapasiti untuk membayar dividen khas sebanyak 11 sen sesaham daripada hasil AHAM, bersamaan dengan hasil tambahan 5%," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada Mei lalu, Affin dilaporkan mendapat kelulusan daripada pemegang sahamnya bagi pelupusan 63% pegangan Affin Hwang Investment Bank Bhd. dalam AHAM kepada Starlight Asset Sdn. Bhd. sebanyak RM1.417 bilion.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, kumpulan perbankan itu dijangka menjana hasil RM1.063 bilion daripada pelupusan itu, yang sebahagian besar akan digunakan untuk pelan pertumbuhan masa depan.

 

Dengan kelulusan yang diperoleh itu juga, Affin bercadang untuk memberikan ganjaran kepada pemegang sahamnya menerusi pemberian dividen khas sebelum akhir tahun ini.

 

Menurut RHB Research, Affin mengulangi Pelan Metamorfosis baharunya untuk FY22 hingga FY25, dengan sasaran pulangan ke atas ekuiti (ROE) sebanyak 10% dan pertumbuhan pinjaman dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 18%.

 

"Kami menganggap sasaran ini agak tinggi dengan mengambil kira persekitaran makroekonomi yang mencabar pada masa akan datang, dan kekal menyedari potensi isu kualiti aset yang mungkin disebabkan oleh pertumbuhan pinjaman yang terlalu agresif. 

 

"Buat masa ini, kami masih belum membuat sebarang anggaran untuk FY25. Kami sebaliknya mengurangkan unjuran untung bersih bagi FY22 sebanyak 10% dengan mengambil kira faktor peruntukan tambahan, dengan jangkaan mendatar bagi FY23 hingga FY24," jelasnya.

 

Setakat 10.57 pagi ini, harga saham Affin menokok 1 sen atau 0.48% kepada RM2.08 dengan 64,200 saham diniagakan. - DagangNews.com