Diskaun 20% penerbangan domestik MAB untuk guru, pensyarah & pelajar | DagangNews Skip to main content

Diskaun 20% penerbangan domestik MAB untuk guru, pensyarah & pelajar

mab

KUALA LUMPUR 8 Julai - Malaysia Airlines Berhad (MAB) bakal menawarkan diskaun penerbangan domestik sehingga 20% kepada guru sekolah, pensyarah dan pelajar. 

Tempahan diskaun penerbangan boleh dibuat bermula dari 9 Julai sehingga 10 Ogos manakala tarikh perjalanan bermula 10 Julai sehingga 30 November 2020.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbar hari ini. 

Ismail Sabri berkata, keputusan tawaran itu adalah hasil perbincangan antara kerajaan, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan MAB.

“Diskaun sebanyak 20 peratus kepada guru peringkat persekolahan dan pensyarah Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta bagi perjalanan domestik.

“...manakala bagi pelajar pula, diskaun boleh dinikmati sehingga 30 November ini atau sehingga tempoh keahlian tamat, mengikut syarat keahlian MH Explorer,” katanya. 

Tawaran diskaun itu diberikan bagi kemudahan golongan terbabit yang akan memulakan sesi pembelajaran pada waktu terdekat memandangkan institusi pendidikan akan dibuka tidak lama lagi. - DagangNews.com