DNex bekerjasama dengan UiTM manfaatkan teknologi terkini | DagangNews Skip to main content

DNex bekerjasama dengan UiTM manfaatkan teknologi terkini

 

 

KUALA LUMPUR 24 Jun - Dagang NeXchange Berhad (DNeX) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi kerjasama pembangunan dan penerapan teknologi baharu. 

 

Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama membangunkan analisis data, kecerdasan buatan dan keselamatan siber menerusi pertukaran maklumat dan penyelidikan serta khidmat nasihat industri dan pendidikan. 

 

Malah, mereka juga akan meneroka penerapan teknologi ini dalam industri utama di Malaysia dan mewujudkan peluang bagi meneruskan kerjasama seperti dalam usaha pengkomersialan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir yakin kerjasama itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak kerana ia dapat membawa kepada inovasi baharu dan keupayaan untuk memenuhi permintaan industri.

 

Katanya, dengan pengalaman kumpulan selama ini dalam menyediakan perkhidmatan teknologi kepada pelbagai sektor, akan meningkatkan nilai kepada kerjasama tersebut.

 

"Pada masa sama, DNeX juga boleh memanfaatkan sumber dan keupayaan penyelidikan UiTM untuk membantu kumpulan kekal kompetitif dalam dunia perniagaan yang serba maju dan teknologi canggih," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kerjasama DNeX-UiTM adalah berdasarkan model kejayaan kerjasama antara industri dan universiti yang terbukti mampu menggerakkan inovasi, pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan melahirkan graduan berkemahiran.

 

Malah, ia juga sejajar dengan usaha kerajaan dalam memupuk interaksi antara industri dan universiti terutama dalam sektor berteknologi tinggi.

 

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor UiTM, Prof Ts Dr Roziah Mohd Janor berkata, kerjasama dengan DNeX membolehkan pihak universiti berkongsi kepakaran dalam sektor teknologi maklumat sekali gus menyediakan para pelajar dan penyelidiknya dengan penerapan sebenar teknologi baharu. 

 

"UiTM boleh membina graduan yang berkemahiran terutama dengan akses kepada teknologi IR4.0 sekali gus membolehkan mereka berfungsi sebagai tenaga kerja masa depan yang menyumbang kepada kemajuan DNeX dan negara," katanya. - DagangNews.com