Dr Siew dilantik sebagai Ketua Pegawai Strategik Kumpulan Maybank | DagangNews Skip to main content

Dr Siew dilantik sebagai Ketua Pegawai Strategik Kumpulan Maybank

Dr Siew Chan Cheong
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Maybank telah melantik Dr Siew Chan Cheong sebagai Ketua Pegawai Strategik Kumpulan, bermula 15 Ogos 2022. 

 

Dr Siew akan bertanggungjawab untuk membangunkan dan melaksanakan strategi Kumpulan. Beliau akan membantu dan melapor kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GPCEO) Maybank, dan bekerjasama rapat dengan Lembaga Pengarah dan pasukan kepimpinan. 

 

Beliau juga akan bertanggungjawab untuk meluas dan memperdalam agenda pendigitalan serta memacu perindustrian dan penggunaan analitik di seluruh kumpulan demi mencapai matlamat perniagaan. 

 

Dr Siew mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam merangka dan melaksanakan strategi transformasi di pelbagai negara merentasi pelbagai industri dan organisasi, termasuk bank-bank utama di Eropah dan Asia. 

 

Sebagai bekas Pengarah Perunding Strategik Kanan dengan Strategy& (sebelum ini dikenali sebagai Booz & Company), beliau telah bekerja dengan pelanggan perbankan British dan Jerman sebagai sebahagian daripada peranannya di London dan Hong Kong untuk membantu pelanggan-pelanggan ini mencapai pertumbuhan baharu susulan Krisis Kewangan Global pada tahun 2008. 

 

Sejak kembali bekerja di Asia Tenggara pada 2014, beliau telah menyokong institusi kewangan terkemuka ASEAN dalam bidang pertumbuhan perniagaan pesat, perkembangan bakat, perbankan digital dan analisis data besar. 

 

Sebelum ini, Dr Siew telah menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Strategik dan Inovasi Kumpulan di Kumpulan Perbankan RHB.

 

Beliau berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam kejuruteraan dan ijazah sarjana muda (kepujian kelas pertama) dalam kejuruteraan dari University of Southampton, UK. Beliau juga mempunyai Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dari London Business School.


 
GPCEO Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, pengetahuan luas, kemahiran kepimpinan dan pengalaman antarabangsa Dr Siew menjadikan beliau calon yang tepat untuk menerajui visi strategik jangka sederhana hingga panjang kumpulan.

 

“Pemahaman Dr Siew mengenai trend global dan pengalaman luas dalam menangani perubahan digital yang pesat akan membolehkan beliau memacu pemikiran kreatif dan berhubung di dalam organisasi. 

 

"Ini merupakan aspek penting untuk menyokong aspirasi digital Bank secara berterusan, meneroka pemacu pendapatan baharu dan mendukung inisiatif transformasi strategik demi menjana prestasi yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. - DagangNews.com