Dr Siti A'iasah Hashim dilantik Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia | DagangNews Skip to main content

Dr Siti A'iasah Hashim dilantik Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia

SHAH ALAM 8 Okt – Agensi Nuklear Malaysia mengumumkan pelantikan Dr. Siti A’iasah Hashim sebagai Ketua Pengarah baharu agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu, berkuatkuasa 7 Oktober 2020. Beliau menggantikan Dr. Mohd. Abd. Wahab Yusof yang telah bersara pada 21 September lalu.

Pelantikan Dr. Siti A’iasah dibuat berdasarkan kelayakan, pengalaman dan pengetahuan beliau khususnya dalam bidang penyelidikan bagi membolehkan beliau menerajui kepimpinan di Agensi Nuklear Malaysia dan seterusnya meneruskan kecemerlangan bagi mencapai matlamat kemajuan pembangunan dan penyelidikan.

Beliau mendapat pendidikan Ijazah Pertama Kejuruteraan (Elektrik), University of New South Wales, Australia pada 1987 dan mendapat Ijazah Kedoktoran dalam bidang Fizik Gunaan (Kawalan Pencemaran Udara) daripada Universiti Malaya pada 2015.

Selain itu, Dr. Abdul Rahim Harun pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Program Perkhidmatan Teknikal) di Agensi Nuklear Malaysia juga berkuatkuasa mulai 7 Oktober.

nuklear
               Dr. Abdul Rahim Harun


Beliau merupakan mantan Pengarah Bahagian Agro & BioSains dan pakar nuklear dalam bidang pembaikan mutasi tanaman. Beliau juga pernah menjalankan beberapa misi pakar bagi pihak Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Laos dan Mauritius.

"Agensi Nuklear Malaysia mengucapkan sekalung tahniah di atas pelantikan tersebut serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dr. Mohd. Abd. Wahab bin Yusof di atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan sepanjang beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia sebelum ini," kata kenyataan agensi itu di sini hari ini. - DagangNews.com