Skip to main content

Duopharma Biotech, The Live Green Co bangunkan produk berasaskan tumbuhan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Julai - Duopharma Biotech Bhd. dan The Live Green Co, menandatangani perjanjian kerjasama untuk meneroka penggunaan bahan-bahan berasaskan tumbuhan dan teknologi bagi menggantikan bahan berasaskan haiwan, sintetik dan amat diproses.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, kerjasama itu membolehkan Duopharma Biotech mengembangkan bilangan makanan kesihatan tumbuhan-sahaja dan farmaseutikal berasaskan tumbuhan yang boleh ditawarkan kepada pelanggan.

 

Katanya, ia secara tidak langsung mampu mengembangkan potensi pasaran dan pada masa sama mengurangkan jejak karbon daripada bahan-bahan yang tidak mampan dan proses pembuatan yang kurang dioptimumkan. 

 

"Keputusan untuk menggantikan bahan-bahan sedia ada dengan alternatif tumbuhan adalah langkah penting dalam merealisasikan matlamat Prestasi Iklim Duopharma Biotech untuk mengurangkan gas rumah hijau di sepanjang rangkaian bekalannya. 

 

"Syarikat telah mengumumkan komitmen terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2030, pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dan menggantikan 50% plastik sekali-pakai dengan plastik biodegradasi di dalam operasinya menjelang 2026, dengan penekanan pada teknologi baharu dan pendigitalan untuk mengurangkan pelepasan dengan lebih cekap," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

 

duopharma
Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar (dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Duopharma Consumer Healthcare, Shamsul Idham Ahad; Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi The Live Green Co., Sasikanth Chemalamudi dan Penasihat The Live Green Co., Kenneth Chan pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara kedua-dua pihak hari ini.

 

 

 

Kerjasama Duopharma Biotech dengan The Live Green Co akan menyaksikan sekurang-kurangnya dua produk yang dirumus semula ditawarkan kepada pengguna menjelang 2024. 

 

Jenama pengguna terkemuka yang akan membawa tag tumbuhan-sahaja atau berasaskan-tumbuhan tidak lama lagi termasuk Flavettes, Champs, Proviton, Uphamol dan Naturalle, antara lainnya.

 

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Live Green Co, Priyanka Srinivas berkata, komitmen Duopharma Biotech ke arah masa depan yang lebih mampan telah meyakinkannya bahawa mereka adalah rakan kongsi yang tepat untuk menjadi agen perubahan berskala besar dalam usaha ke arah meredakan perubahan iklim. 

 

"Menggunakan Charaka, platform pembelajaran mesin Kecerdasan Buatan proprietari kami, ia dapat memastikan kecekapan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kemasukan ke pasaran dengan pantas bagi produk penjagaan kesihatan dan kesejahteraan baharu yang dibangunkan oleh Duopharma Biotech.

 

"Kerjasama ini mempamerkan visi dua syarikat yang yakin menjadi pemangkin perubahan berskala besar dalam ruang pemakanan dan makanan berfungsi," tambahnya. - DagangNews.com