Duopharma melabur RM2.06 juta dalam Naluri | DagangNews Skip to main content

Duopharma melabur RM2.06 juta dalam Naluri

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Jun - Salah satu syarikat farmaseutikal utama di Malaysia, Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech) bersetuju untuk melaburkan AS$500,000 atau kira-kira RM2.06 juta dalam syarikat perkhidmatan kesihatan digital, Naluri Hidup Sdn. Bhd.

 

Pelaburan yang dilakukan menerusi pusingan pembiayaan Siri A itu bakal diperuntukkan untuk mengembangkan aplikasi kesihatan bersepadu digital pintar oleh Naluri, menurut kenyataan Duopharma Biotech.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, aplikasi pintar teknologi digital itu bakal meningkatkan keberkesanan penjagaan kesihatan, seterusnya mencapai objektif kehidupan yang lebih sihat.

 

“Kami berbangga menjadi sebahagian daripada pencapaian ini untuk memperkasa teknologi kesihatan tempatan.

 

Leonard Ariff Abdul Shatar
Leonard Ariff Abdul Shatar

 

"Tidak dinafikan pandemik COVID-19 global telah menekankan lagi keperluan penting bagi inisiatif bersama dalam memupuk kesihatan lebih baik,” katanya dalam kenyataan sama, hari ini.

 

Sebelum itu, Duopharma Biotech telah memperuntukkan sebanyak AS$250,000 atau kira-kira RM1.03 juta sebagai pelaburan awal untuk aplikasi penjagaan kesihatan digital yang diperibadikan itu menerusi Perjanjian Mudah untuk Ekuiti Masa Depan (SAFE) yang dibuat pada April 2020.

 

Tambah syarikat berkenaan, Duopharma Biotech sebagai pelabur strategik serta firma permodalan antarabangsa dan tempatan lain akan membolehkan Naluri memperluaskan operasinya ke rantau ini dan mendalami lagi kemampuan sains data syarikat.

 

Menerusi kerjasama itu juga, Duopharma Biotech dapat menyampaikan intervensi terapi berasaskan bukti menggunakan penyelesaian terapi digital Naluri, yang direka untuk membantu pengguna menguruskan risiko penyakit kronik melalui program pembinaan tingkah laku dan psikologi pelbagai disiplin.

 

Melangkah ke hadapan, syarikat farmaseutikal itu berhasrat untuk mempercepatkan penggunaan data sains, algoritma ramalan, penyambungan peranti dan pemantauan penyakit untuk mewujudkan pelbagai hasil kesihatan yang signifikan secara klinikal.

 

Duopharma Biotech berkata lagi bahawa syarikat ketika ini sedang membangunkan pelbagai penggunaan kes menerusi platform teknologi proprietari Naluri.

 

Setakat 11.50 pagi, harga saham Duopharma Biotech menyusut 3 sen kepada RM3.10. - DagangNews.com