Alternatif pelaburan: Lego juga menjanjikan pulangan lumayan! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 15 Oct 2022 08:41 AM

Alternatif pelaburan: Lego juga menjanjikan pulangan lumayan!

 

 

 

SETIAP individu mempunyai hobi yang tersendiri. Ada yang suka bermain muzik, mengubah bunga, mengumpul barang mainan, bermain sukan, bercucuk tanam dan lain-lain lagi.

 

Mengapa tidak kita jadikan hobi itu sendiri sebagai pemula untuk berniaga atau melabur?

 

Hobi dan pelaburan adalah dua perkara berbeza. Tetapi kebelakangan ini ramai yang menjadikan hobi sebagai salah satu platform alternatif pelaburan.

 

Bercakap mengenai pelaburan, pelaburan adalah mengenai wang di mana setiap pelabur cuba membuat keuntungan melalui membeli pada harga yang rendah kemudian menjual pada harga yang tinggi.

 

Apabila pelaburan yang di buat adalah berdasarkan hobi, ia adalah salah satu cara paling mudah untuk membuat kesilapan yang boleh dielakkan daripada terlibat dengan pelaburan yang tidak fasih dan terlalu kompleks.

 

Memetik kata-kata guru pelaburan tersohor, Warren Buffett:

"Jangan sekali-kali melabur dalam perniagaan yang anda tidak faham."

 

 

Eksponen

 

 

Untuk menjadi pelabur, tidak semestinya kita hanya menumpukan pelaburan kita dalam pasaran saham, emas, mata wang dan pelbagai lagi jenis pelaburan yang ada.

 

Kita mesti melabur dalam “bulatan kecekapan” sendiri di mana kita melabur pada bidang yang kita tahu kerana jika kita melabur secara sembrono dan tidak mempunyai pemahaman yang munasabah terhadap apa yang kita buat, kita akan sentiasa terdorong untuk tersilap percaturan dan membuat keputusan yang salah.

 

Salah satu hobi yang boleh dijadikan sebagai platform alternatif kepada pelaburan adalah melabur dalam permainan blok plastik iaitu Lego!

 

Lego?

Lego merupakan mainan pembinaan blok berasaskan plastik yang dihasilkan oleh Lego Group, sebuah syarikat milik persendirian yang berpangkalan di Billund, Denmark.

 

Sejak dari penubuhannya lagi, Lego Group telah mengeluarkan beribu-ribu set Lego dengan pelbagai tema dan jenis.

 

Lego juga mendapat lesen dari banyak francais kartun serta filem dan juga permainan video seperti Star Wars, Batman, Harry Porter, Minecraft, Pirates of the Caribbean,  set Olimpik Musim Panas 2012, set filem Marvel dan banyak lagi.

 

Lego juga mengeluarkan siri Lego Minifigures bertemakan individu berdasarkan filem, sukan, sejarah dan lain-lain.

 

Siri Lego Minifigures ini mendapat sambutan yang hangat hingga mencetuskan  kontroversi dalam kalangan peminat dan pengumpul Lego kerana kesukaran untuk mendapatkannya dalam melengkapkan koleksi.

 

 

Eksponen

 


Bagi kebanyakan orang, pelaburan dalam Lego mungkin terdengar sangat baru dan tidak masuk akal. Ramai menyangkakan bahawa mainan Lego ini adalah mainan khususnya untuk kanak-kanak.

 

Tetapi tidak! Sebenarnya Lego Group tidak lagi menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran utama perniagaan mereka.

 

Berdasarkan rekod jualan mereka, secara majoritinya pembeli set Lego sebenarnya adalah datang dari kelompok peminat dan pengumpul dewasa.

 

Pelaburan Lego

Pelaburan melalui Lego boleh dianggap sebagai pelaburan yang berisiko tinggi kerana ia boleh dikategorikan sebagai pelaburan spekulatif atau pelaburan gelembung spekulatif.

 

Ini kerana berdasarkan kajian, lonjakan nilai sesuatu set Lego adalah disebabkan oleh jangkaan pertumbuhan permintaan masa hadapan yang berlebihan dan set Lego itu sendiri yang boleh menyebabkan peningkatan harga.

 

Apabila keadaan ini berlaku, ia mendorong set Lego tertentu didagangkan dengan nilai yang lebih tinggi dan melebihi nilai intrinsik (nilai sebenar atau nilai runcit).

 

Kenapa ini berlaku? Ia berkaitan dengan nostalgia dan memorabilia.
 

 

Eksponen
SEORANG peminat filem Star Wars dengan model Star Destroyer lego miliknya.


 

Untuk pengetahuan semua, set Lego pada kebiasaannya dihasilkan dalam kuantiti dan untuk tempoh masa yang terhad.

 

Sebagai contoh, set LEGO Star Wars dan LEGO City terus menjadi antara barisan produk terlaris keluaran Lego Group.

 

Apabila set terlaris ini habis dijual di pasaran, pengumpul dan peminat Lego mengategorikannya sebagainya set end of Life (EOL). Set EOL ini merujuk kepada set Lego yang tidak lagi dihasilkan ataupun set pengakhiran. 

 

Kebiasaannya harga set EOL ini akan melonjak dengan cepat kerana masih wujudnya permintaan tetapi kekurangan bekalan di pasaran. Ini sama seperti prinsip ekonomi di mana harga akan melonjak naik apabila bekalan berkurangan dan menurun apabila bekalan berlebihan.

 

Buat peminat Lego dan peminat filem sains fiksyen Star Wars, mereka membeli dan mengumpul set Lego Star Wars kerana ada dalam kalangan mereka yang ingin mencipta semula adegan kegemaran mereka seperti di dalam filem dan  ada juga yang membeli untuk menjadikannya sebagai salah satu koleksi mereka.


 

Eksponen

 


Kebanyakan peminat dan pengumpul yang melabur melalui set Lego, mereka akan membeli set Lego popular pada harga yang murah semasa set Lego (EOL) ini masih senang untuk didapati di pasaran dan kemudian menjual set Lego tersebut dengan harga yang lebih tinggi di masa hadapan.

 

Perubahan dan peningkatan harga set Lego pula bergantung kepada bekalan dan permintaan, kualiti dan keadaan kotak set Lego serta tema set Lego yang menjadi buruan para peminat dan pengumpul.

 

Pulangan Pelaburan Lego

Berdasarkan laman web BrickEconomy, nilai untuk set Lego terpakai boleh mencecah kenaikan sehingga 33% peratus secara tahunan bergantung kepada set dan jenis Lego.

 

Nilai peningkatan yang tinggi ini boleh dikatakan sebagai kadar pulangan pelaburan yang lebih baik jika dibandingkan dengan emas, saham dan bon.

 

Set Lego yang mencatat peningkatan pulangan yang tertinggi adalah merujuk kepada barisan produk Lego FORMA. Set Lego Forma ini adalah set Lego yang dihasilkan untuk mencipta semula model Koi yang terdiri daripada Koi, Splash Koi Skin, Ink Koi Skin  dan Shark Skin.

 

Eksponen

Set Lego yang bertemakan siri televisyen drama seram sains fiksyen Amerika Syarikat, Stranger Things juga menunjukkan pulangan yang tinggi.

 

Paling mengejutkan Lego Minifigures – San Diego Comic-Con Barb yang mencatatkan kadar peningkatan tahunan sebanyak 26 peratus.

 

Ini jelas menunjukkan yang Lego boleh menjadi alternatif platform pelaburan dalam menjana pulangan pelaburan yang lebih baik!

 

Eksponen

Satu lagi Lego Minifigures yang mencatat pulangan yang tinggi adalah Mr. Gold. Mr. Gold adalah keluaran terhad yang dihasilkan hanya sebanyak 5,000 unit pada tahun 2013.

 

Setiap daripada mereka mempunyai nombor siri dan nombor ini boleh dimuat turun pada laman web Lego untuk menunjukkan di negara mana mereka telah dijumpai.

 

Ia juga dikategorikan sebagai salah satu Lego Minifigures paling premium dalam barisan Lego dan dilengkapi dengan luaran krom emas.

 

Harga Mr. Gold melalui pencarian pada laman jualan yang popular adalah diantara AS$2,000-AS$5,000 bergantung kepada kualiti keadaannya.

 

 

Eksponen

 

Jangan Skeptikal!

Sebagai pelabur, jangan terlalu skeptikal tentang apa-apa sahaja berkenaan pelaburan! Jangan menganggap pelaburan hanya boleh di buat melalui pasaran saham, emas, hartanah, unit amanah dan lain-lain sahaja.

 

Kita perlu sentiasa membuka mata dan sentiasa mencari peluang pelaburan yang menguntungkan di masa hadapan.

 

Ya! Lego boleh menjadi sebagai salah satu platform alternatif pelaburan.

 

Tetapi tidak semua set Lego akan melambung nilainya! Sudah tentu, hanya set Lego yang popular dan tertentu sahaja yang akan memberi pulangan yang tinggi di masa hadapan.

 

Eksponen

 

 

Jadi sebagai permulaan untuk yang berminat untuk menjadikan set Lego sebagai platform alternatif pelaburan. Pastikan anda membeli set dengan jangkaan yang ia bakal meraih sambutan kembali dengan permintaan yang tinggi di masa hadapan!

 

Jika tersilap percaturan, set Lego itu hanyalah sekadar blok plastik mainan untuk anda pamerkan buat tatapan tetamu! Kerana pelaburan datang sekali dengan risiko! – DagangNews.com

 

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat